IPOH - Pengusaha hotel dan restoran terutama yang bertaraf lima bintang diingatkan untuk tidak terlalu selesa dengan mengetepikan ulasan dinyatakan pengguna dalam mana-mana aplikasi media sosial.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, meskipun mempunyai penarafan tinggi, tidak semestinya mereka mendapat ulasan memuaskan daripada pelanggan.
"Sebagai pengusaha yang terlibat dengan industri pelancongan dan hospitaliti, kita perlu membaca ulasan produk-produk kita di aplikasi seperti TripAdvisor dan juga di medan-medan media sosial yang lain.
"Kita perlu faham kehendak pelanggan masa kini dan jangan terkejut jika hotel-hotel dan restoran bertaraf lima bintang sekali pun tidak semestinya mendapat ulasan yang memuaskan," katanya ketika berucap pada majlis Perak Tourism Business Opportunity Seminar di Hotel Syeun, hari ini.
Menurutnya, pelancong baik dari dalam atau luar negara pada masa sekarang lebih bijak dan amat kalkulatif mengenai perbelanjaan yang dilakukan.
"Mereka hanya inginkan yang terbaik, terutama sekali dari segi pengalaman tempat tinggal, perkhidmatan yang diterima di restoran, tempat tarikan dan sebagainya.
"Jadi apa yang penting (bagi mereka) adalah servis dan kualiti produk yang kita tawarkan, itu yang apa mereka akan ingati dan itu adalah apa yang akan dikomen," katanya.
Sementara itu dalam sidang medianya, beliau mahu, pengusaha hotel memperluas skop perkhidmatan melangkaui kemudahan bilik semata-mata dengan mengambil kira tarikan di kawasan persekitaran.
Katanya, tidak semua pelanggan mahu menikmati kemudahan disediakan hotel seperti makan dan minum sebaliknya turut mencari tarikan lain yang sesuai untuk diterokai.
"Persekitaran yang menawarkan kepelbagaian pilihan juga sebahagian daripada ekosistem pelancongan dan seharusnya ia juga diambil berat oleh pengusaha hotel selain perkhidmatan dan layanan mesra penuh senyuman," katanya.