Kes SRC: Gesa siasat pemalsuan tandatangan dokumen

Iklan
Azlan (tengah) hadir membuat laporan polis di IPD Petaling Jaya.

PETALING JAYA - Gerakan Tuntut Malaysia (TUNTUT) menggesa siasatan dijalankan berhubung kenyataan bekas Pengarah SRC International, Datuk Suboh Md Yasin semasa perbicaraan kes SRC baru-baru ini yang mendakwa tandatangannya pada dokumen bank telah dipalsukan bagi memindahkan dana SRC bernilai jutaan ringgit.

Pengerusi TUNTUT, Azlan Abu Bakar berkata, keterangan bekas Pengarah SRC ini menunjukkan bahawa dokumen yang dihantar oleh pihak pendakwa raya di dalam kes mahkamah ini adalah dokumen yang mempunyai tandatangan palsu dan sengaja dikemukakan bertujuan untuk mengenakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Iklan
Iklan

"Kami memohon polis dan badan-badan tertentu membuat siasatan penuh terhadap pihak yang mengemukakan dokumen ini memandangkan pihak yang menyiasat kes ini sepatutnya telah mengetahui penuh bahawa tandatangan tersebut adalah tandatangan palsu yang dipercayai dilakukan ketua pegawai eksekutif SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil.

"Pemalsuan itu dilakukan tanpa melibatkan sebarang peranan langsung atau tidak langsung Datuk Seri Najib," katanya kepada Sinar Harian, selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Petaling Jaya, hari ini.

Iklan

Jelasnya, pihaknya percaya siasatan yang tidak lengkap telah dibuat sehingga pengemukaan dokumen bertandatangan palsu digunakan oleh pihak pendakwaan dalam mensabitkan bekas Perdana Menteri itu.

Pada 1 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bahawa Nik Faisal mungkin telah memalsu (meniru) tandatangan Suboh pada dokumen bank bagi memindahkan dana oleh SRC.

Iklan

Pemindahan dana dikata melibatkan berjuta-juta ringgit dari SRC kepada dua subsidiarinya Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd.

Pendedahan ini dibuat peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, peguam utama bagi Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menyoal balas Suboh pada perbicaraan SRC Najib di mana pihak pembela menggunakan mesin projektor bagi membandingkan tandatangan Suboh pada beberapa salinan kertas dan pada dokumen yang diimbas.