SHAH ALAM - Kerajaan Selangor memutuskan untuk mengekalkan had umur belia sehingga 40 tahun bagi memastikan kelancaran pelaksanaan program pembangunan buat golongan itu.
Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, kerajaan negeri tidak akan meminggirkan golongan ini berikutan sebahagian besar daripada mereka yang berusia 30 tahun ke atas masih aktif dalam program pembangunan belia, aktiviti sukan dan program 'outdoor'.
Iklan
Iklan
Beliau berkata, langkah ini juga selaras dengan inisiatif yang diwujudkan oleh kerajaan negeri kepada golongan ini antaranya seperti Insentif Perkahwinan Belia yang ditawarkan kepada mereka berumur sehingga 40 tahun.
"Kita bertemu beberapa orang belia di lapangan dan mereka berpandangan, umur 30 tahun adalah terlalu cepat habis zaman belia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Dewan Rakyat meluluskan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668) yang dibawa oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi meminda takrif ‘belia’ dan ‘pertubuhan belia’ dengan menurunkan had umur maksimum golongan itu daripada 40 tahun kepada 30 tahun.
Dalam pada itu, Khairudddin yang juga merupakan ADUN Paya Jaras memaklumkan Kerajaan Selangor juga akan terus bekerjasama dan kekal komited bersama KBS dalam setiap usaha pembangunan belia di negeri ini secara khususnya dan Malaysia amnya.
"Kerajaan Selangor secara dasarnya menyokong keputusan pindaan tersebut namun masih mentakrifkan definisi belia dari umur 15 sehingga 40 tahun," katanya.