Kok Hua mahir bahasa Tamil

Iklan
Kok Hua memenuhi jemputan Majlis Rumah Terbuka Deepavali Ahli Majlis MDKL, S Sethupathy (kanan) di Taman Aman, Banting.

BANTING - Menguasai bahasa Mandarin bukanlah sesuatu yang pelik pada masa kini, namun apabila dalam kalangan bukan kaum India boleh bertutur bahasa Tamil itu boleh dianggap istimewa.

Kelebihan itu dimiliki Low Kok Hua, 50, sejak usianya 15 tahun dan dia mahir berbahasa Tamil ketika membantu bapanya menguruskan kedai basikal berhampiran estet Sungai Buaya di sini.

Iklan
Iklan

Pelanggan yang kebanyakannya dalam kalangan kaum India mendorongnya untuk mempelajari bahasa tersebut sedikit demi sedikit bagi memudahkan komunikasi.

Kok Hua mengakui penguasaan bahasa Tamil bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi tidak mempelajarinya secara formal, namun usahanya itu akhirnya membuahkan hasil.

Iklan

"Kebanyakan kaum India yang tinggal di estet ketika itu tidak fasih berbahasa Melayu, jadi untuk memudahkan urusan saya belajar bahasa mereka.

"Saya belajar melalui pemerhatian dan mendengar sampailah sehingga sekolah menengah, baru saya ada keyakinan untuk bertutur,” kongsinya.

Iklan

Bertutur di rumah

Menurutnya, kelebihan yang ada pada dirinya turut dimiliki keluarganya yang lain termasuk bapa saudaranya yang mampu menulis dalam bahasa Tamil.

"Bapa dan kami enam beradik boleh bertutur bahasa Tamil cuma ibu saya kurang mahir tetapi masih faham apabila orang bercakap bahasa tersebut.

"Semasa kecil adakala saya dan adik-beradik lain berbahasa Tamil di rumah untuk memahirkannya. Belajar bahasa Tamil memang susah,” katanya.

Kok Hua berkata, lebih istimewa ibu mertuanya juga boleh bertutur bahasa Tamil.

"Ibu mertua saya fasih berbahasa Tamil kerana dahulu bekerja di ladang Kelanang Baru dan ramai kawannya daripada kaum India,” katanya.

Bagaimanapun katanya, kelebihan itu tidak dimiliki isterinya yang membesar dalam persekitaran masyarakat Melayu.

Masalah rakyat

Menurutnya, jika dahulu bahasa Tamil digunakan bagi tujuan perniagaan, namun kini kelebihan itu digunakan untuk mengetengahkan masalah rakyat.

Kok Hua berkata, ia sesuai dengan jawatannya kini sebagai Ahli Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) bermula tahun lalu.

Kok Hua bersama rakan ketika sambutan Aidilfitri Parti Amanah Negara baru-baru ini.

Dalam masa sama, katanya, tugasnya sebagai Pegawai Khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Morib, Hasnul Baharuddin turut memainkan peranan penting dalam menyampaikan masalah kaum India kepada kerajaan negeri.

"Bukanlah mereka tak tahu langsung berbahasa Melayu cuma kadangkala menggunakan bahasa ibunda mereka, maka faktanya lebih tepat dan lebih mudah difahami.

"Saya membantu setakat termampu, apabila mampu berbahasa Tamil komunikasi pun jadi mesra dan lebih menarik,” katanya.

Kok Hua (lima dari kanan) bersama ahli Persatuan Kabaddi Daerah Kuala Langat ketika majlis pelancarannya baru-baru ini.

Selorohnya lagi, adakala dia menjadi seorang yang bertelinga lintah apabila sibuk mendengar perbualan atau rasa tidak puas hati kaum India kepada kerajaan.

"Yang mana tahu saya faham bahasa Tamil tahulah, yang mana tak tahu itulah modal saya untuk mendengar sendiri apa yang mereka umpatkan.

"Kadangkala lucu juga apabila mereka berbual mengenai kita depan-depan kerana ingatkan kita tak faham. Tapi saya tak ambil hati kerana bukan semua orang sependapat dengan kita,” katanya.

Dari masa ke semasa katanya, kemahirannya sering diasah dan diperbaiki agar kekal malar hijau dan tidak mudah lupa.

"Jika tidak sibuk atau cuti hujung minggu, saya akan mencuri masa untuk menonton wayang Tamil. Ia juga proses pembelajaran yang saya amalkan dan praktikkan,” katanya.

Bersama Adun Morib, Hasnul (kanan) dalam Majlis Sambutan Deepavali di sebuah rumah Ahli Majlis MDKL.

Nama: Low Kok Hua

Umur: 50 tahun

Pekerjaan: Berniaga

Ahli Majlis MDKL

Pegawai Khas ADUN Morib

PendidikanSijil Pelajaran Malaysia (SPM)

SJK(C) Tiong Nam, Sungai Buaya

Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Manggis

Status: Berkahwin

Nama Isteri: Chin Set Chew, 46

Anak: Low Chong Xin, 22

Low Xin Jie, 18