LJUBLJANA - Sebuah patung kayu Wanita Pertama Amerika Syarikat (AS), Melania Trump yang didirikan di negara asalnya Slovenia mencetuskan pelbagai reaksi.
Patung tersebut terletak bersebelahan Sungai Sava di Kampung Rozno, kira-kira lapan kilometer dari kampung halaman Melania, Sevnica.
Artis AS, Brad Downey mengupah artis tempatan, Ales Zupevc untuk mengukir patung berkenaan daripada batang pokok menggunakan gergaji berantai.
Ia dihasilkan bagi mengiringi pameran Downey di sebuah galeri di Ljubljana yang meneroka warisan Slovenia Wanita Pertama AS itu.
Walaupun patung tersebut 'memakai' pakaian sama dipakai Melania ketika pelantikan suaminya, Donald Trump sebagai Presiden AS, ia langsung tidak menyerupai Wanita Pertama AS itu.
"Patung itu tidak kelihatan seperti Melania, ia seperti Smurfette," kata seorang penduduk.
"Ia memalukan, itu pendapat saya," ujar seorang lagi penduduk.
Namun Downey mempertahankan hasil seni itu dengan mengatakan 'ia sangat cantik'.
Menurut Downey, dia mahu 'berdialog dengan situasi politik negaranya' dan memaparkan status Melania sebagai migran yang mengahwini seorang lelaki yang telah berikrar mengurangkan migrasi ke AS. - Agensi