ROMPIN - Kerajaan memperuntukkan RM250 juta dalam memastikan projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) yang terbengkalai diteruskan pembinaannya.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sebanyak 1,400 unit rumah PGBF juga telah pun siap dibina pada tahun ini.
Menurutnya, unit rumah berkenaan telah pun mendapat Sijil Layak Menduduki Bangunan (CF) dan boleh dihuni dalam masa terdekat.
"Unit rumah PGBF berkenaan kini boleh diserahkan kepada generasi baharu Felda untuk diduduki," katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Peneroka Peringkat Kebangsaan di Felda Selancar 3, di sini hari ini.
Turut hadir sama, Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Bakke Salleh, Pengarah Besar Felda, Datuk Dr. Othman Omar dan Ketua Peneroka Felda Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Shariff.
Sementara itu, beliau berkata, pengurusan Felda mencadangkan supaya pemenang Anugerah Keceriaan Kampung Felda (AKKF) sempena sambutan Hari Peneroka Kebangsaan tahun depan bukan sahaja diberikan kepada johan malah naib johan dan tempat ketiga.
"AKKF dapat memupuk semangat persaudaraan dan muhibah dalam kalangan warga peneroka melalui aktiviti gotong royong dan kecerian kampung yang dilaksanakan.
"Program tersebut juga kita akan dapat menjadikan Felda yang menang sebagai contoh atau role model kepada Felda lain di negara ini dalam menjaga kecantikan dan kebersihan kampung secara bekerjasama," katanya.