ROMPIN - [DIKEMASKINI] Felda akan bangkit semula dengan keyakinan peneroka kembali utuh di bawah pengurusan baharu kerajaan Pakatan Harapan bagi membela masa depan golongan peneroka.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, komitmen kerajaan untuk mengembalikan kegemilangan Felda itu dilaksanakan menerusi Program Pembangunan Peneroka (PPP), yang dilancarkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
PPP yang merangkumi aktiviti berasaskan program tanaman dan selingan yang mampu memberikan hasil dalam tempoh singkat dan aliran tunai konsisten dilancarkan pada sambutan Hari Peneroka Peringkat Kebangsaan 2019 di Felda Selancar 3, di sini hari ini.
Mohamed Azmin berkata, Felda di bawah kepimpinan pengasasnya Tun Abdul Razak Hussein, yang juga Perdana Menteri kedua Malaysia, berjaya membantu mengurangkan jurang ekonomi Melayu dan Bumiputera menerusi pembukaan tanah kerajaan, yang pada suatu ketika membolehkan negara menyumbang 25 peratus kepada pengeluaran kelapa sawit dunia.
"Malangnya sejak beberapa tahun lalu, kita menyaksikan kerakusan pimpinan atasan Felda yang terdiri daripada orang politik yang terlalu banyak bermain politik sehingga peneroka menjadi mangsa dan dibebankan dengan masalah besar," katanya semasa berucap di hadapan ribuan peneroka pada sambutan itu.
Mohamed Azmin berkata belajar daripada kesilapan itu, kerajaan Pakatan Harapan berjanji untuk memastikan pengurusan agensi itu hanya ditadbir oleh mereka berintegriti dan berwibawa.
Katanya pelantikan Tan Sri Mohd Bakke Salleh sebagai Pengerusi Felda, berkuatkuasa 1 Julai, dilihat berkemampuan untuk membawa agensi itu ke peringkat baharu dengan bantuan dan sokongan akar umbi peneroka.
Mohamed Azmin berkata PPP bukan hanya untuk memastikan masa depan lebih mampan dan menjaga kebajikan peneroka, tetapi juga berperanan melihat industri perladangan kekal maju dan meningkatkan produktiviti menerusi penggunaan teknologi moden.
Selain itu, kerajaan juga amat maklum dengan permasalahan peneroka seperti bebanan hutang yang cukup tinggi dan masalah perumahan generasi kedua yang banyak terbengkalai. - Bernama