PENGENDALI Pulau Pinang, Manzoor Azwira Abd Wahab optimis pasukannya masih berpeluang untuk beraksi di Liga Super musim hadapan.
Katanya, walaupun terpaksa berhadapan saingan sengit dengan dua pasukan lain iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Negeri Sembilan yang pernah merangkul gelaran juara Liga Super 2006, beliau yakin sasaran itu mampu dicapai, kerana pasukannya telah mencatat peningkatan yang baik pada pusingan kedua liga musim ini.
Iklan
Iklan
"Kita ada dua lagi perlawanan iaitu menentang Sarawak dan kemudian PDRM, yang mana kita kena menang dan dapatkan mata untuk rebut satu lagi slot yang tinggal untuk ke Liga Super.
"Saya tidak dapat nafikan kemasukan dua pemain import iaitu Sergio Aguero dan 'Casagrande' serta bekas penjaga gol kebangsaan, Zamir Selamat memberi impak sangat baik pada pasukan, dan membantu kita mencipta rekod tanpa kalah sepanjang pusingan kedua liga," katanya selepas perlawanan menentang Terengganu FC ll, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini malam tadi.
Bagi memastikan pasukannya berjaya merebut peluang itu, Manzoor berkata beliau akan memberi tumpuan pada bahagian pertahanan yang masih belum mantap. - Bernama