MELAKA - Agensi kerajaan yang terlibat dalam industri pertanian diminta menyediakan spesifikasi lengkap yang mudah difahami untuk mengeksport produk pertanian, bagi memudahkan produk itu dipasarkan ke luar negara.
Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan, Industri Asas Tani dan Koperasi, Norhizam Hasan Baktee berkata, masih ada usahawan baharu yang kurang faham spesifikasi produk pertanian yang diperlukan, bagi membolehkan produk mereka dieksport ke luar negara.
Katanya ketiadaan spesifikasi lengkap itu, akan merencatkan usaha membantu usahawan tani membuat persediaan dan menghasilkan produk bermutu untuk ekport ke luar negara.
"Spesifikasi ini juga penting bagi kerajaan negeri, dalam menyusun program dan perancangan bagi membantu usahawan tani di negeri ini mengembangkan perniagan mereka, bukan hanya di peringkat nasional sebaliknya ke peringkat antarabangsa,” katanya, di sini hari ini.
Beliau berkata, demikian ketika diminta mengulas tahap kesediaan usahawan tani di Melaka untuk beralih ke pasaran eksport dan tidak hanya bergantung kepada pasaran tempatan semata-mata.
Norhizam berkata, sebelum bersedia untuk memasuki pasaran global, usahawan tani juga perlu diberi pengetahuan yang secukupnya agar mereka mampu berdaya saing, kerana persaingan perniagaan di pasaran global adalah lebih mencabar.
"Sebelum ke pasaran global mereka perlu membuktikan kejayaan di peringkat negeri dan nasional terlebih dahulu, kerana kita tidak tahu sama ada produk yang ingin dipasarkan nanti, boleh diterima masyarakat antarabangsa.
"Kita sebagai kerajaan boleh membuka pintu kepada usahawan tani memasuki pasaran antrabangsa, tetapi kita tidak mahu mereka rugi jika produk mereka tidak dapat bertahan lama di pasaran antarabangsa,” katanya.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Norhizam berkata pihaknya telah menghantar beberapa cadangan kepada kerajaan pusat, dalam usaha melahirkan petani moden di negeri ini.
Katanya, salah satu daripada cadangan yang dibuat ialah pemohonan dana, bagi memulakan projek rintis penanaman sayuran secara fertigasi di daerah Jasin.
"Walaupun ini bukan satu kaedah baharu, saya dapat lihat bahawa penggunaan sistem berkomputer mampu memberikan hasil lebih lumayan dan berterusan kepada petani.
"Dengan kaedah ini petani dapat memperolehi data secara berkomputer tentang jumlah baja dan air diperlukan tanaman mereka, tanpa perlu kerap turun ke kebun,” katanya.
Beliau berkata sudah tiba masanya petani di negeri ini beralih kepada pertanian moden, yang mampu mendatangkan hasil dan pendapatan yang lebih baik berbanding dengan sistem pertanian tradisional. - Bernama