JAKARTA - Jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho atau lebih mesra dipanggil Pak Topo meninggal dunia akibat kanser pada umur 49 tahun.
Sutopo merupakan wakil utama kerajaan dalam melaporkan perkembangan terkini berhubung siri bencana di Indonesia termasuk gempa bumi dan tsunami yang meragut ribuan nyawa di Kepulauan Sulawesi pada tahun lalu.
Menurut agensi terbabit, Sutopo menghembuskan nafas terakhir awal pagi tadi di sebuah hospital di Guangzhou, China di mana beliau menjalani rawatan kanser yang telah merebak ke bahagian tulang dan beberapa organ penting.
"Kami semua merasai kehilangan Pak Sutopo. Beliau merupakan tokoh utama dan paling bersemangat dalam menyampaikan maklumat bencana di Indonesia," kata agensi terbabit menerusi kenyataan di Instagram.
Bencana Palu menyaksikan semangat kuat Sutopo menghadiri taklimat akhbar setiap hari, melayan panggilan wartawan dan berkomunikasi di media sosial meskipun sedang menjalani rawatan untuk kanser paru-paru tahap empat.
Pucat dan kelihatan kurus, Sutopo menerima berita pada Januari 2018 bahawa beliau mungkin hanya mempunyai masa setahun untuk hidup.
Meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak, Sutopo memegang PhD dalam bidang sumber semula jadi dan alam sekitar, dengan kepakaran dalam hidrologi dan pembenihan awan.
Beliau yang menghabiskan masa bertahun-tahun sebagai penyelidik dan berhasrat menjadi seorang profesor, menolak tawaran untuk menjadi jurucakap kerajaan sebanyak tiga kali sebelum menerimanya pada tahun 2010.
Terkenal di seluruh Indonesia, Sutopo sering menyampaikan perkembangan terbaharu buat hampir 200,000 ribu pengikutnya di laman Twitter dan 70,000 pengikut di Instagram.
Media Indonesia melaporkan, beliau pernah berjanji kepada isterinya untuk memperlahankan jadual kerja namun masih sempat menyampaikan perkembangan berhubung kejadian tanah runtuh pada Februari tahun lalu dari katil hospital.
Pada Ogos tahun lalu, beliau menyampaikan maklumat bencana gempa bumi di Lombok setelah hanya beberapa minit selesai menjalani sesi kemoterapi.
"Ia bukan tentang berapa lama anda hidup, ia tentang apa yang anda lakukan semasa hidup," katanya. - AFP