SHAH ALAM - Selangor sudah lama mempraktikkan amalan mewajibkan pimpinan negeri ini agar mengisytiharkan harta.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, konsep mengisytiharkan harta ini sangat dekat dengan ketulusan pentadbiran sekali gus dituntut Islam.
Iklan
Iklan
"Amalan mengisytihar harta mencerminkan kebertanggungjawaban pemimpin selain rakyat mempunyai hak untuk melihat sejauh mana kejujuran pemimpin.
"Islam menjamin hak untuk rakyat mengetahui dan melihat pemimpin itu adakah menjalankan amanah dan melaksanakan tugas dengan baik ataupun mengambil kesempatan daripada peluang yang diberikan," katanya.
Beliau berkata, ketelusan pemimpin Islam dahulu seperti di bawah pentadbiran Saidina Umar Al Khattab apabila menguruskan harta rampasan perang.
"Kisah Saidina Umar Al Khattab yang ditanya tentang jubahnya sedikit panjang daripada selayaknya yang diperolehi sewaktu menyampaikan khutbah kerana kain yang mereka dapat hasil daripada rampasan perang sepatutnya tidak panjang sedemikian rupa.
"Inilah bagaimana sikap Saidina Umar tidak marah, sebaliknya beliau menjelaskan bahawa kainnya itu lebih kerana menggunakan kain yang dimiliki oleh anak beliau iaitu Abdullah Umar yang turut berperang dan mendapat harta rampasan perang,” katanya.