ROMPIN - Warga peneroka Felda memberi jaminan untuk terus menyokong kerajaan dan pengurusan agensi itu dalam perancangan mengembalikan kegemilangan Felda seperti awal penubuhannya.
Ketua Peneroka Felda Kebangsaan, Sulong Jamil Mohd Shariff berkata, mereka teguh di belakang kerajaan dan pengurusan yang menurutnya perlu saling berganding bahu dalam perkara itu.
"Perjalanan sesebuah organisasi pasti ada jatuh dan bangunnya... begitu juga dengan Felda yang diuji krisis dan masalah sehingga menggugat reputasi yang sebelum ini gah di mata masyarakat.
"Kita, peneroka Felda bagaimanapun masih setia bersama Felda hingga hari ini dan akan menanti apakah rancangan kerajaan dan Felda terhadap kami," katanya semasa berucap pada Sambutan Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan 2019 di Felda Selancar 3 di sini, hari ini.
Sambutan itu dirasmikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan turut hadir ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Bakke Salleh dan Pengarah Besar Felda, Datuk Dr Othman Omar.
Sulong Jamil juga berkata kerajaan sentiasa prihatin dengan kebajikan warga peneroka contohnya dengan memberikan Bantuan Khas Hari Raya dan melunaskan tunggakan Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil baru-baru ini, bagi meringankan beban kewangan peneroka.
Pada ucapannya, beliau berharap kerajaan meneliti cadangan Jawatankuasa Perundingan Peneroka (JKPP) supaya bantuan subsidi sepenuhnya kepada penanaman semula kelapa sawit diberikan kepada peneroka.
Sulong Jamil berkata pemberian subsidi itu, yang boleh diberikan menerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) adalah sesuatu 'yang perlu' kerana penyumbang terbesar hutang peneroka ketika ini ialah kos penanaman semula komoditi itu.
"Umum mengetahui penanaman semula memerlukan kos amat besar yang perlu ditanggung peneroka... sudah pasti pemberian subsidi 100 peratus itu boleh membantu kami," katanya.
Sulong Jamil juga mencadangkan pemotongan hutang mengikut peratus pendapatan bulanan peneroka yang membolehkan mereka memiliki lebih pendapatan untuk dibelanjakan ketika harga kelapa sawit dan getah tidak menentu. - Bernama