Johor tidak pernah pandang remeh insiden Pasir Gudang

Iklan
Dr Sahruddin Jamal

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Johor tidak pernah memandang remeh kejadian pencemaran alam sekitar yang berlaku di Pasir Gudang.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, beliau telah meminta semua agensi kerajaan mengambil tindakan sewajarnya bagi membantu penduduk Pasir Gudang khususnya kanak-kanak sekolah.

Iklan
Iklan

"Dua jawatankuasa juga akan ditubuhkan bagi memantau pencemaran di Pasir Gudang. Pertama, Jawatankuasa Kerja Teknikal dan Saintifik yang akan menyelaras, mengawasi dan mengesan impak yang bakal berlaku di Pasir Gudang termasuk memperkasa aktiviti penguatkuasaan kepada kilang-kilang haram.

"Kedua, Jawatankuasa Pemantauan bagi melapor status terkini tahap pencemaran di Pasir Gudang.

Iklan

"Kedua-dua jawatankuasa ini akan bermesyuarat secara berkala dan memberi laporan terus kepada Exco Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar setiap bulan," katanya ketika ucapan penggulungan Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-14 di sini hari ini.

Sahruddin berkata, sebagai usaha langkah jangka masa panjang, kerajaan negeri akan merangka Pelan Pembangunan Bandar Pasir Gudang Yang Lestari.

Iklan

Katanya, dalam pelan itu, kerajaan negeri akan memperhalusi cadangan penempatan semula kilang-kilang kimia berisiko tinggi serta mewujudkan zon penampan di antara kawasan industri dengan penempatan penduduk di Pasir Gudang.

"Langkah-langkah ini menterjemahkan kerajaan negeri serius dalam mengatasi isu pencemaran alam sekitar di Pasir Gudang untuk jangka masa panjang," katanya.