400 pemilik kereta diburu

Iklan
Penguatkuasa MPK menunda sebuah kereta yang memiliki kompaun.

KLUANG - Kira-kira 400 pemilik kenderaan yang masih gagal melunaskan kompaun letak kereta di dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kluang (MPK), digesa membuat bayaran segera bagi mengelakkan dikenakan tindakan yang lebih tegas.

Yang Dipertua MPK, Mohd Rafi Abdullah berkata, kegagalan pemilik kenderaan membayar kompaun yang ditetapkan itu membolehkan pihaknya menunda dan menahan kereta mereka mengikut Perintah Lalulintas Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) MPK 2003.

Iklan
Iklan

"Sekarang MPK sedang melakukan kempen diskaun bayaran kompaun letak kereta sehingga 80 peratus berakhir 31 Disember ini dan semua penerima kompaun boleh memanfaatkannya sama ada melalui kaunter atau secara atas talian melalui JomPay dan Wang Pos.

"Walau bagaimanapun, tindakan penundaan dan tahanan kereta hanya dilakukan selepas pemilik kenderaan berkenaan terus berdegil untuk melunaskan bayaran kompaun selepas beberapa notis peringatan dikeluarkan kepada mereka,” katanya.

Iklan

Menurutnya, semua pemilik kenderaan yang memiliki kompaun letak kereta juga digesa mematuhi surat peringatan yang dikeluarkan oleh MPK bagi mengelakkan tindakan penundaan kenderaan diambil.

Beliau mengulas tindakan Bahagian Penguatkuasaan MPK yang menunda sebuah kenderaan dipercayai gagal melunaskan bayaran kompaun letak kereta oleh pemiliknya di tengah-tengah bandar Kluang, baru-baru ini.

Iklan

"Sehingga November tahun ini, jumlah keseluruhan kompaun letak kereta yang gagal dibayar adalah sebanyak RM2,689,785 dan dijangka dapat dikurangkan melalui kempen sebulan bermula 1 Disember lalu.

"Selain itu, pemilik kenderaan yang melakukan kesalahan yang melanggar mana-mana peruntukkan mengikut Perintah Lalulintas Jalan MPK juga boleh ditunda dan kalau boleh kami meminta agar pemilik kenderaan menjelaskan bayaran kompaun tersebut,” katanya.