Sabah perlu modal insan pelbagai kepakaran pacu ekonomi negeri

Iklan
Shafie Apdal

KOTA KINABALU - Sabah memerlukan modal insan yang mempunyai kepelbagaian dari segi kepakaran bagi menguruskan kewangan, kekayaan dan sumber ke arah melonjakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata, pembangunan modal insan di Sabah seharusnya tidak hanya tertumpu dalam bidang kejuruteraan semata-mata memandangkan negeri ini tidak hanya mempunyai sumber minyak dan gas tetapi juga sektor lain termasuk makanan yang turut memerlukan kepakaran berkemahiran tinggi.

Iklan
Iklan

Justeru, Mohd Shafie mahu syarikat berkaitan kerajaan seperti Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mempelbagaikan lagi penajaan pendidikan yang tidak hanya memberi fokus kepada membangunkan modal insan dalam bidang kejuruteraan tetapi juga perubatan, teknikal dan teknologi nano untuk bidang nutrisi.

"Kita perlu memberi panduan kepada anak-anak ke arah kemahiran diperlukan di masa depan. Kita tidak boleh menghantar mereka hanya dalam satu bidang kerana kita turut memerlukan akauntan, peguam dan pakar dalam teknologi nano nutrisi apatah lagi masyarakat hari ini mementingkan kehidupan sihat.

Iklan

"Sumber tenaga manusia dalam pelbagai bidang kepakaran dan kemahiran adalah perlu kerana ia akan membolehkan negara mampu berdepan cabaran ekonomi global di masa mendatang," katanya berucap pada Majlis Anugerah Penajaan Pendidikan Petronas 2019 di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusuf Yacob, Pengerusi Petronas, Datuk Ahmad Nizam Salleh dan Naib Presiden Kanan, Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan Petronas Datuk Raiha Azni Abd Rahman.

Iklan

Pada majlis itu, Mohd Shafie turut menyampaikan anugerah penajaan pendidikan berkenaan kepada seramai 150 pelajar terpilih dari seluruh negeri.

Seramai 28 daripada penerima itu terdiri daripada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia yang menerima tajaan menerusi Program Penajaan Pendidikan Petronas (PESP) bagi mengikuti pengajian ijazah pertama di Universiti Teknologi Petronas serta beberapa universiti di luar negara.

Tajaan itu turut diberikan kepada seramai 69 pelajar Maktab Rendah Sains Mara di seluruh Sabah yang kurang bernasib baik menerusi Program Budi-Petronas, dan 53 pelatih di pelbagai institusi teknikal di bawah Program Penajaan Bantuan Latihan Institusi Vokasional Petronas.

Dalam pada itu, Mohd Shafie bagi pihak kerajaan Sabah melahirkan penghargaan dan mengucapkan terima kasih atas komitmen Petronas dalam membantu membangunkan modal insan Sabah berilmu pengetahuan dan berkemahiran tinggi.

Beliau turut mengingatkan para pelajar menerima tajaan itu supaya fokus dan bersungguh-sungguh menimba ilmu bagi merealisasikan cita-cita diimpikan sekali gus memberi sumbangan kepada keluarga, masyarakat dan negara selepas tamat pengajian.

Sementara itu, Ahmad Nizam ketika berucap berkata Petronas telah menaja lebih 36,800 pelajar cemerlang di negara ini sejak PESP diperkenalkan pada 1975 sehingga kini dengan membabitkan nilai tajaan lebih RM3.3 bilion. - Bernama