Tolak sikap berpuak-puak dalam UMNO: Asyraf Wajdi

Iklan
Asyraf Wajdi (dua, kiri di hadapan) bersama Perwakilan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Pasir Mas serta turut hadir sama wakil dari Pas Pasir Mas.

PASIR MAS - Ahli UMNO perlu menolak sekeras-kerasnya sikap berpuak-puak yang boleh menyuburkan budaya perpecahan sekaligus menghancurkan parti.

Tanpa berselindung Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan individu atau kumpulan yang masih mengamalkan budaya itu sebagai orang bodoh.

Iklan
Iklan

Asyraf Wajdi berkata, hal ini kerana ia akan memberikan kelebihan kepada pihak lawan untuk terus melemahkan UMNO.

"Pada saya, ketika lemah inilah kita perlu perkukuhkan parti dan menolak sekeras-kerasnya budaya berpuak-puak atau kem-kem.

Iklan

"Kalau ada yang cuba kata ini kem Zahid (Presiden UMNO) ini kem Tok Mat (Timbalan Presiden UMNO) ambo kata orang itu bodoh!,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Pasir Mas, di sini hari ini.

Iklan

Turut hadir, Ketua Pemuda UMNO negeri, Noor Hariri Mohamed Noor dan Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Datuk Abdul Ghani Harun.

Menurutnya, budaya berpuak-puak dan kem itu sudah tidak relevan buat parti itu selepas mereka kalah pada PRU14 lalu.

Katanya, kekalahan itu sepatutnya dijadikan sebagai pengajaran untuk bangkit dan memperkemaskan parti dengan mewujudkan satu kem sahaja iaitu ‘Kem UMNO’.

Asyraf Wajdi (hadapan) berswafoto bersama Perwakilan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Pasir Mas.

Katanya, ahli juga perlu taat dan patuh kepada sesiapa sahaja presiden yang dilantik.

"Kita dah kalah, jadi pembangkang, apa faedahnya buat kem? Patut ada satu kem sahaja dalam parti, bukan kem Zahid, bukan kem Tok Mat tetapi kem UMNO,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, beliau mahu ahli parti belajar daripada kesilapan lalu yang menyebabkan UMNO telah dihukum rakyat.

Katanya, soal perbezaan pendapat perkara lumrah, namun parti tidak mendapat sebarang faedah jika pihak tidak sependapat itu terus bertelagah dan mengajak pula orang lain untuk menyertai mereka.

"Dalam situasi politik sekarang, dua perkara perlu diberi fokus oleh UMNO ketika ini iaitu mengukuhkan perpaduan dalaman parti serta mengukuhkan hubungan dengan Pas.

"Kalau kita berjaya, UMNO dan Pas akan jadi pembangkang efektif dalam menyuarakan denyut nadi rakyat, sekali gus menjadi alternatif kepada Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya akan datang,” katanya.