Anggota APM hilang sebelah tangan

Iklan
Roslan (kanan) bersama Effendy menziarahi Ishak, anggota APM yang kehilangan tangan kiri selepas terpaksa di potong akibat kemalangan jalan raya lebih sebulan lalu.

MELAKA -"Meskipun tanpa tangan kiri, saya masih mampu meneruskan khidmat bersama Angkatan Pertahanan Awam (APM), demikian menurut Lans Koperal (PA) Ishak Yusof, 59, selepas tangan kirinya terpaksa dipotong selepas terbabit kemalangan jalan raya lebih sebulan lalu.

Ishak berkata, kejadian itu berlaku, kira-kira jam 3 pagi, pada 1 Ramadan lalu, di Jalan Semabok berhadapan stesyen minyak Petron ketika dia bersama anak keempatnya, Nur Hidayat Ishak, 20, dalam perjalanan menuju ke pasar borong di Batu Berendam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tujuan ke pasar borong berkenaan bagi membeli ikan untuk keperluan perniagaan ikan bakar di Bazar Ramadan Merlimau, seperti mana kebiasaan yang sering dilakukan pada setiap tahun di bulan puasa.

"Kereta Toyota Camry yang dipandu anak cuba mengelak seekor anjing melintas jalan, mengakibatkan kereta kami terbabas ke lorong bersebelahan dan bertembung dengan sebuah lori membawa ikan.

Iklan

"Saya yang ketika itu duduk di bahagian hadapan tempat duduk penumpang telah mengalami kecederaan parah pada bahagian tangan kiri, rusuk kiri, kepala serta buah pinggang dan terpaksa menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka selama lapan hari sebelum ditempatkan di wad biasa," katanya.

Ishak ditemui di rumahnya sempena lawatan Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab di Kampung Tedong Pekan, Jasin di sini.

Iklan

Turut sama, Pengarah APM Melaka, Lt Kol (PA) Effendy Ali.

Menurut Ishak yang juga pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang pernah berkhidmat di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di beberapa buah negara termasuk Bosnia, Turki dan Perancis, kedatangan ketua pesuruhjaya APM itu sebagai suatu kejutan buatnya.

"Saya tidak sangka, apabila dimaklumkan Datuk Roslan berhasrat untuk melawat saya, sedangkan saya cuma anggota sukarelawan APM.

"Saya bersyukur sebab ramai yang ambil berat terhadap diri saya selepas berlaku kemalangan terutama pihak Jabatan Hal Ehwan Veteran ATM yang berjanji akan membantu menyumbang tangan palsu selepas luka saya sembuh sepenuhnya," katanya.

Dalam pada itu, Roslan berharap, kejadian tersebut langsung tidak mematahkan semangat anggota terbabit untuk terus menabur khidmat bersama APM meskipun mengalami kecacatan pada tangan.

"Khidmat Ishak masih diperlukan APM apatah lagi pengalamannya yang luas sebelum ini. Saya difahamkan beliau juga banyak membantu sebagai jurulatih kepada sukarelawan APM di beberapa buah kolej di Melaka.

"APM juga berjanji akan membantu sekiranya ada sebarang keperluan perubatan buatnya," katanya.