Sanggup menduda demi anak tunggal

Iklan
Zulkifli (dua,kanan) serta Siti Rohajar (tiga,kanan) menerima kunjungan Wanita PKR di kediamannya di Kampung Gatal, hari ini.

KUALA KRAI - Tiada apa yang lebih membahagiakan daripada melihat kehidupan anaknya kembali normal.

Itulah erti bahagia bagi Zulkifli Mat Husin,51.

Iklan
Iklan

Membesarkan anaknya seorang diri, bapa tunggal ini tidak pernah terdetik di hatinya mencari pengganti arwah isterinya yang meninggal dunia sejak 10 tahun lalu.

"Saya nak tengok anak saya sembuh.

Iklan

"Nak tengok dia sihat macam orang lain," katanya kepada Sinar Harian.

Dialah ayah, dia jugalah ibu buat anak tunggalnya Siti Rohajar, 19 yang menghidapi masalah mata yang sangat kronik di samping mempunyai masalah buah pinggang dan paru-paru.

Iklan

"Lepas arwah isteri meninggal dunia, ibu mertua saya banyak bantu anak saya bila saya keluar kerja.

"Tapi, lepas banjir besar pada 2014, ibu mentua pula meninggalkan kami," katanya yang pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah.

Sejak itu, Zulkifli tidak lagi mempunyai pekerjaan tetap kerana tidak boleh meninggalkan anaknya sendirian di rumah.

"Siti Rohajar perlu dibantu pada setiap masa termasuk mandi, makan dan menguruskan diri.

"Saya kena bantu anak saya..." ujarnya.

Sebagai bapa, Zulkifli tidak pernah mengabaikan anaknya jauh sekali memikirkan hal-hal diri sendiri.

Baginya, menjaga anak syurganya itu adalah tanggungjawab dan amanah yang perlu dijaga sebaik mungkin.

Tinggal di Kampung Gatal, Zulkifli mengambil upah menjaga lembu penduduk kampung walaupun pendapatan tidak menentu

"Saya ada juga ternak ayam kampung. Saya kena juga cari duit untuk kami berdua," katanya.

Dengan tahap kesihatan Siti Rohajar, dia hanya mampu bergerak di dalam rumah sahaja.

"Dia boleh tengok tapi samar-samar saja. Makin teruk tu lepas banjir 2014. Sebab tu saya tak boleh jauh daripada dia," katanya lagi.

Biar sesusah mana kehidupan dua beranak ini, Zulkifli tidak pernah lupa membawa anaknya ke hospital untuk rawatan.

"Setiap tiga bulan, kena pergi Hospital Kuala Krai dan juga di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.

"Ayah mana tak nak anak dia sembuh kan. Biar saya susah cari duit, asalkan Siti Rohajar boleh melihat semula," ceritanya lagi.

Siti Rohajar menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM350 sebulan.

Dengan duit bantuan itulah yang menampung keperluannya termasuk membawanya ke hospital mendapatkan rawatan terutamanya untuk ke HRPZ II.

Disebabkan hal anaknya itu jugalah, Zulkifli tidak terfikir untuk berkahwin lagi.

"Lagipun saya rasakan arwah isteri masih ada, walaupun hakikatnya dia telah lama meninggalkan kami," katanya sebak mengenangkan isterinya pergi meninggalkan mereka di saat kedua-dua mereka masih memerlukannya.

Reda dengan setiap ujian, Zulkifli hanya mahu melihat anaknya kembali sihat sebelum dia dijemput Illahi.

Masalah dihadapi dua beranak ini mendapat perhatian Wanita PKR Kuala Krai yang diketuai Salema Sapie yang melawat serta menghulurkan sumbangan barangan keperluan harian.

Salema ketika lawatan tersebut merancang membuat lawatan susulan bersama beberapa agensi berkaitan untuk membantu dua beranak ini.