BAPA kepada Ainul Mardhiah, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, memaklumkan yang anaknya itu akan dibawa pulang ke tanah air secara senyap.
Memetik laporan Harian Metro, Ahmad Safiuddin berkata, dia dan isterinya, Nurul Erwani Zaidi sedang melakukan persiapan untuk membawa anaknya itu pulang ke Malaysia, tidak lama lagi.
"Tarikh tidak akan diberitahu atas nasihat doktor di sini (London) sebab takut ramai akan tunggu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) nanti.
ARTIKEL BERKAITAN:
Seronok lihat Ainul Mardhiah hisap jari, luah ibu
Video bapa dodoi Ainul buat ramai bergenang air mata
"Kami akan balik secara senyap-senyap berikutan Ainul dalam fasa untuk sembuh dan badannya masih belum kuat.
"Harap semua orang faham keadaan Ainul, demi mengelakkan anak kami daripada jangkitan,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Safiuddin memuat naik gambar anaknya kira-kira dua jam yang lalu dengan keterangan ‘Dah ready ke kakak (Ainul)’.
Status dimuat naik di laman Facebook itu kemudiannya mendapat 5,800 reaksi, 116 komen dan 205 perkongsian.
Ainul Mardhiah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan seberat 200 gram di mulut selepas bertarung nyawa selama lima jam di Hospital Kanak-kanak di UK pada 10 Jun lalu.
Kesihatannya terus menunjukkan perkembangan positif apabila berat badannya semakin bertambah.