PASIR GUDANG - Kerajaan Johor sedia maklum dengan tuntutan saman yang bakal difailkan 160 mangsa yang terjejas akibat pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim, di sini, Mac lalu.
Exco Kesihatan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, tuntutan saman yang akan menjadikan kerajaan negeri sebagai salah satu defendan kes juga telah dimaklumkan kepada Menteri Besar.
"Kerajaan negeri akan meneliti secara terperinci tuntutan saman yang akan difailkan para mangsa yang diwakili Jawatankuasa Bertindak Mangsa Toksik Sungai Kim Kim dan keluarga gejala sesak nafas, baru-baru ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Keluarga Irfan Wafiy fail saman RM5 juta
"Saya telah maklumkan perkara ini (tuntutan saman) kepada Menteri Besar untuk tindakan selanjutnya selain satu perbincangan akan diadakan Menteri Besar dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selasa ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd Khuzzan berkata, bagi mencari solusi terbaik, perkara sedemikian harus dibincangkan secara bersama selain perlu melihat dahulu tuntutan saman yang akan difailkan.
"Kita juga akan membincangkan kes gangguan sesak nafas yang berlaku di Pasir Gudang sejak 20 Jun lalu," katanya.
Terdahulu, media melaporkan kesemua mangsa terjejas ini akan mengemukakan saman terhadap 11 defendan di Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 17 Julai untuk menuntut ganti rugi bagi tahap kesihatan mereka.
Selain kerajaan negeri dan menteri besar, saman tersebut juga akan menyenaraikan Menteri Alam Sekitar, Exco Kerajaan Negeri, Jabatan Alam Sekitar, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) sebagai antara defendan.