KLANG - Dalam usaha bagi membantu meningkatkan pendapatan pengusaha bengkel di negara ini, JV Empire Holding Sdn Bhd mengambil peranan untuk memberikan kursus berkaitan sistem transmisi automatik kepada pihak yang berminat.
Pengerusi dan Pengasas JV Empire Holding SdnBhd, Mohmd Zaidi Mohmd Souade berkata selain itu, pengusaha bengkel yang berada di bawah bimbingannya juga secara tidak langsung akan menjadi wakil pengedar sah buat produk keluaran mereka iaitu JV Auto Lube.
Menurut Mohmd Zaidi, selain dapat menuntut ilmu mengenai sistem gear box automatik yang rumit, pengusaha bengkel juga dapat menjana pendapatan tambahan dengan menjadi wakil buat produk tersebut.
"Apa yang kami sediakan ini bukan sahaja dapat memberi ilmu kepada pengusaha bengkel malah mereka juga dapat meraih keuntungan tambahan dengan penjualan produk ini.
"Buat masa ini, terdapat empat produk di bawah keluaran JV Auto Lube iaitu engine treatment, transmission treatment, engine carbon detox dan fuel injector treatment,” katannya kepada pemberita selepas perasmian Wisma JV Empire Holding yang disempurnakan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya.
Hadir sama sewaktu majlis perasmian tersebut adalah Ahli Parlimen Kapar, Abdullah Sani Abdul Hamid.
Mengulas lanjut, Mohmd Zaidi memaklumkan bahawa pihaknya mengambil kesempatan untuk menawarkan kursus kepada pengusaha bengkel yang berminat mendalami ilmu berkaitan transmisi automatik bagi memberi pendedahan mengenai kepentingan penjagaan gearbox.
"Seperti kita sedia maklum, dalam situasi sekarang pengguna kenderaan semakin bertambah namun mereka tidak mendapat maklumat terperinci mengenai transmisi automatik kerana tak ramai orang mempunyai kepakaran itu.
"Jadi kita gunakan peluang untuk menjadi peneraju dan sampaikan maklumat kepada mereka mengenai kepentingan penjagaan dan rawatan awal gearbox automatik ini memandangkan kos bagi baik pulih kerosakan tersebut boleh mencecah sehingga puluhan ribu ringgit,”katanya
Buat masa ini, Mohmd Zaidi berkata pihaknya telah berjaya berkongsikan ilmu dan membimbing seramai lebih 200 pengusaha bengkel di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.
Tambah Mohmd Zaidi, pihaknya juga menyasarkan untuk menjual sekitar 100,000 botol produk keluaran JV Auto Lube pada setiap bulan selepas ini.