IPOH - Dua pelajar lelaki berusia 17 tahun maut selepas motosikal berkuasa tinggi jenis Harley Davidson yang dinaiki mereka melanggar Perodua Myvi di KM5 Jalan Gopeng- Batu Gajah berhampiran Taman Herba Negeri di sini petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, C Adwin Chandran dan Muhammad Nabil Ikhwan Ibrahim masing-masing beralamat di Kampung Kepayang di sini, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Superintendan Zakaria Abd Rahman berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa serta kereta yang dinaiki tiga individu dalam perjalanan dari Gopeng menuju ke Batu Gajah.
"Setibanya ditempat kejadian, motosikal terbabit telah melanggar bahagian belakang kereta yang dipandu lelaki berusia 61 tahun.
"Pelanggaran itu menyebabkan motosikal mangsa terbabas lalu melanggar pokok hiasan pembahagi jalan,” katanya.
Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Kampar untuk bedah siasat.
"Ketiga-tiga pemandu dan penumpang kereta tidak mengalami kecederaan. Kenderaan terlibat dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar untuk pemeriksaan Puspakom.
"Sampel darah penunggang motosikal dan pemandu kereta diambil untuk mengesan kandungan alkohol dan dadah,” katanya.
Zakaria berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.