KUALA LUMPUR - Kenang pengorbanan dan perjuangan pemimpin terdahulu, selain elak timbulkan spekulasi yang mampu menggugat keamanan negara.
Perkara itu disuarakan Pengerusi Perhubungan Pertubuhan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Wilayah Persekutuan, Rohaida Roslan.
Menurutnya, keamanan yang dikecapi hari ini, adalah hasil usaha dan kerjasama masyarakat dalam menjaga kesejahteraan selain kemakmuran ekonomi.
"Justeru, setiap rakyat Malaysia khususnya ahli badan bukan kerajaan (NGO) perlu memanfaatkan peluang yang ada untuk menaik taraf nilai sosio ekonomi keluarga dan masyarakat" katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Watikah Pekida Wilayah Persekutuan Daerah Kuala Lumpur di sini semalam.
Hadir sama, Presiden Pekida Malaysia, Jamaluddin Yusof dan barisan pemimpin serta kira-kira 300 ahli jemaah Pekida.
Rohaida berkata, beliau mahu melihat gerak kerja dan perjalanan belia yang menggangotai mana-mana NGO supaya lebih trampil dan menunjukkan kemampuan untuk memimpin bagi meneruskan legasi perjuangan mereka yang terdahulu.
"Jangan hanya rasa selesa dengan kemakmuran dikecapi hari ini. Jaga dan kekalkan supaya turut dapat dirasai anak bangsa di waktu akan datang," katanya.