Selamatkah Pasir Gudang?

Iklan
Gambar kecil: Mohd Khuzzan

JOHOR sekali lagi diuji dengan insiden gangguan kesihatan melibatkan warga Pasir Gudang yang terkenal sebagai penduduk kawasan perindustriannya.

Pada Mac lalu, Pasir Gudang dilanda bencana pencemaran sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim yang menyaksikan lebih 4,000 orang terkesan dan mendapatkan rawatan.

Iklan
Iklan

Turut dilaporkan sejumlah 953 pesakit dimasukkan ke dalam wad selain 26 pesakit menerima rawatan di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) sekali gus menunjukkan betapa seriusnya bencana tersebut.

Selepas beberapa tindakan diambil oleh kerajaan menerusi pelbagai agensi berkaitan, bencana pencemaran sisa bahan kimia seakan-akan menemui penyudahnya.

Iklan

Begitu juga dengan penahanan dan pendakwaan di mahkamah beberapa individu yang disyaki terlibat dalam bencana itu, mungkin sedikit sebanyak ia menenangkan rasa gusar umum.

Kini, Pasir Gudang sekali lagi diuji dengan insiden gangguan kesihatan di mana terdapat murid mengalami simptom sesak nafas, loya dan muntah sejak 20 Jun lalu.

Iklan

Apa yang sebenarnya telah berlaku di Pasir Gudang?

Difahamkan, kawasan itu mempunyai lebih 2,000 kilang yang mana 250 daripadanya membabitkan penggunaan bahan kimia.

Angka tersebut bukan sesuatu yang boleh dipandang enteng tatkala terdapat ribuan nyawa mendiami malah mencari rezeki di sana. Maka, selamatkah warga Pasir Gudang?

Kebimbangan terus timbul di benak fikiran mereka yang berada di kawasan ini. Terdetik juga, akan berulangkah lagi insiden seumpama itu pada masa hadapan?Tidak kurang pula ada yang memikirkan akan tahap kesihatan diri dan keluarga. Apakah bencana yang berlaku akan memberikan kesan sepanjang hayat kepada mereka.

Dua insiden yang terjadi juga menjadi ‘peluru’ untuk ‘menembak’ kerajaan. Pelbagai kritikan, tohmahan dan kemarahan dilontarkan.

Kerajaan dikatakan lemah, lambat bertindak serta tidak mempunyai keupayaan untuk mengurus dan mentadbir negeri dengan baik serta menangani bencana yang dihadapi.

Akan tetapi, dua insiden ini bukan sesuatu yang diminta oleh kerajaan negeri untuk berlaku. Malah tiada siapa mahu ia terjadi kerana ia melibatkan nyawa manusia.

Exco Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar pernah memaklumkan bahawa kerajaan Johor sudah mengambil beberapa langkah pasca bencana Sungai Kim Kim.

"Semua anggota terlibat dengan krisis telah dipanggil untuk mengenal pasti tindakan yang dijalankan oleh unit masing-masing.

"Malah satu laporan bertulis akan dikeluarkan untuk mendokumenkan apa yang terjadi sebagai rujukan pada masa hadapan,” katanya.

Mohd Khuzzan turut pernah memaklumkan pemantauan secara berterusan dan berkala juga dilakukan ke atas semua klinik kesihatan serta hospital selain pesakit itu sendiri.

Malah, katanya, bagi perancangan jangka panjang, tindakan susulan ke atas murid sekolah yang terkesan bencana pencemaran sisa kimia Sungai Kim Kim juga dilakukan.

Begitu juga dengan insiden kali ini. Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal memaklumkan bahawa agensi berkaitan telah bergegas ke lokasi kejadian untuk membuat siasatan selain memberikan bantuan.

"Langkah serta-merta dibuat oleh kerajaan negeri adalah dengan mengaktifkan Jawatankuasa Penyelarasan Bantuan dan Pengurusan Bencana di peringkat negeri dan daerah serentak bagi menyelaras pengurusan pencemaran serta bantuan.

"Pelbagai tindakan telah dilakukan selain memantau kualiti udara bagi mengenal pasti punca, mengadakan operasi bersepadu serta mengambil tindakan penjejakan dan penyiasatan,” jelas Dr Sahruddin ketika bercakap dalam Sidang Dewan Negeri Johor baru-baru ini.

Ini bererti kerajaan Johor telah ‘belajar’ dan mengambil iktibar daripada kejadian yang berlaku tiga bulan lalu. Cuma, tiada siapa sangka Pasir Gudang sekali lagi diuji dengan insiden terkini.

Secara zahir, kita nampak kerajaan berusaha tidak kira siang atau malam untuk menangani insiden gangguan kesihatan yang berlaku sekarang.

Apa jua dapatan hasil berhubung punca berlakunya insiden gangguan kesihatan di Pasir Gudang, soal penguatkuasaan perlu diberikan tumpuan penuh.

Mungkin ada yang mengatakan agak mustahil kerja penguatkuasaan dan pemantauan oleh agensi berkaitan dijalankan secara menyeluruh dan berkesan.

Tetapi, ia tidak seharusnya menjadi alasan. Kerajaan perlu memastikan penguatkuasaan diperhebatkan walaupun ia dilakukan secara berkala.