KUALA TERENGGANU -"Ramah sungguh orang Ganu ni. Nak datang lagilah nanti,” getus hati penulis ketika bercuti ke Terengganu baru-baru ini.
Sejujurnya, berat juga hati untuk ke Terengganu bila ibu mengajak ke negeri ini bulan lalu. Bukan apa, bila memikirkan jarak yang hendak ditempuh, tak sanggup rasanya!
Perjalanan pergi dilingkari bermacam cerita. Masuk ke ladang sawit, sesat berkali-kali, belum kira hanya kereta kami menyusuri jalan, berdua saja. Sunyi sungguh!
Mujur ada Tasik Kenyir penyejuk mata. Pemandangannya sungguh menakjubkan, melebur gundah-gulana, menenangkan hati yang selama ini dihimpit pelbagai tekanan.
Sempat juga kami merakam kenangan sebelum meneruskan perjalanan. Singgah ke Dungun, campur, tolak, darab, bahagi semua, rasanya hampir tujuh jam juga perjalanan kami.
Tapi bukan itu yang mahu diceritakan. Sedari awal, kami perasan ada satu ‘tabiat’ orang Ganu. Mereka sungguh peramah, sangat-sangat membantu orang luar seperti kami. Ia benar-benar membantu kami.
Kisahnya bermula pada malamnya, tatkala kami tiba di inap desa berhampiran Kuala Terengganu. Rumahnya dalam kawasan kampung, bukan mudah mencarinya. Punyalah susah sampai kami salah masuk rumah.
Malu sungguh. Satu keluarga keluar bila kami sampai. Mungkin mereka fikir kami nak datang beraya. Bila tahu kami salah rumah, tidak pula dimarah, tidak pula menarik ‘muka 44’.
Malah diberitahu pula kedai makan sedap-sedap kawasan berhampiran. Wah, mesra sungguh. Kami kagum tapi itu baru permulaan. Kekaguman lain menyusul keesokan harinya.
Esoknya, pagi-pagi lagi kami ke Pasar Payang. Bagi yang belum tahu, kalau datang ke Terengganu, tak sah kalau tak singgah ke Pasar Payang.
Nak beli kepok (keropok) lekor, kepok ikan, kain batik Terengganu dan pelbagai produk tempatan, sinilah tempatnya. Pilihan sungguh banyak, harga juga berpatutan.
Lebih menarik, peniaga di sana juga ramah-ramah belaka. Beli atau tak beli, mereka tetap layan sebaiknya sampai segan pula jadinya kalau tak beli. Kalau tiada produk di kedai mereka, dipromosikan pula kedai rakannya.
Mungkin mereka tahu kami orang luar, semuanya berbual dengan kami, tanya kami dari mana. Setiap gerai kami singgah, setiap gerai jugalah kami berbual panjang.
Leka membeli, sesat kami dibuatnya. Mungkin melihat kami tercari-cari, seorang peniaga menyapa kami:
"Nak ke mana dik. Sana ke depan, sini ke belakang. Mari saya tolong,” katanya.
Aduhai, lega. Tak lah kami sesat lagi. Selesai beli barang, kami menuju ke Pantai Seberang Takir. Seperti biasa, sesat lagi.
Mujur orang Ganu ramah-ramah belaka, tak segan kami bertanya jalan. Setibanya di pantai itu, fahamlah penulis mengapa ia tular. Ada yang gelar ‘Miami Beach’ juga.
Pemandangannya memang sangat indah, lain daripada pantai-pantai yang pernah penulis pergi.
Tapi sayang, penghadang diletakkan di sepanjang jalan, menghalang kereta diparkir di tepi pantai.
Sejujurnya, ia sedikit mencacatkan pemandangan. Dari kampung itu juga, boleh nampak jambatan angkat, ikon terbaru Terengganu.
Puas jugalah kami posing sana-sini memenuhkan memori telefon bimbit.
Malamnya, barulah kami pulang. Nak dijadikan cerita, aplikasi penunjuk arah bermasalah. Berpusing-pusing mencari jalan, masuk pula ke jalan mati. Aduh, tak keruan kami!
Tak jauh dari kami, ada seorang pak cik, tersenyum melihat kami, tahu kami sesat. Dia benar-benar faham kegelisahan kami.
"Kenapa salah masuk jalan, nak ke mana ni?” katanya sebaik kami menurunkan tingkap kereta.
Kami kemudian mengadu kepadanya. Dia beritahu masuk kiri, lepas tu kanan, selepas itu sana, selepas itu sini. Pening juga kami tapi tidak mengapa, kami jalan terus.
Seperti biasa, sesat lagi. Sedang kami mencari jalan, tiba sebuah motosikal dari belakang. Pak cik tadi rupanya. Sudahnya, dia bawa kami sampai ke jalan besar.
Nah, selamat lagi kami. Hakikatnya, cerita kami di Terengganu dipenuhi kisah sesat belaka namun keramahan penduduknya menyelamatkan kami. Kemesraan mereka tersemat di kalbu.
Kepada semua orang Ganu yang membantu kami, terima kasih kami ucapkan. Nanti kami datang lagi, tunggu kami ya...