TIGA hari lepas. Merak Jalanan didatangi seorang ejen insurans. Dia pelawa Merak Jalanan untuk beli insurans daripadanya.
Merak Jalanan tak kisah dia nak perkenal produk insuransnya itu tapi Merak Jalanan kurang selesa apabila dia memberi penerangan dengan cara menakut-nakutkan.
Sambil menunjukkan keratan surat khabar kisah mangsa kemalangan yang terlantar sakit meminta bantuan, dia tanya Merak Jalanan:
"Apa jadi kalau awak yang jadi mangsa kemalangan ini? Siapa nak bayar kos perubatan. Apa jadi pada keluarga awak?” katanya yang membuatkan Merak Jalanan terus jadi tidak berminat untuk mendengar dan meminta diri dengan alasan terlupa ada temu janji dengan kawan.
Maaf, Merak Jalanan bukan hendak perlekehkan ejen insurans. Cuma Merak Jalanan tidak setuju cara segelintir ejen insurans memanipulasi perasaan takut untuk buat duit.
Kisah yang sama berlaku ketika Merak Jalanan didatangi seorang peniaga MLM menjual penapis air. Dia kata, air paip rumah Merak Jalanan kotor dan kalau tidak ditapis boleh menyebabkan risiko kanser. Juga dengan cara menakut-nakutkan.
Nampaknya, ‘ketakutan’ seolah-olah sudah jadi modus operandi peniaga untuk menarik orang ramai. Kerana ‘ketakutan’ juga, ramai produser filem mengeluarkan filem seram sama ada di pawagam atau TV. Peliknya, ramai pula yang menonton walaupun mereka sebenarnya tak seberani mana pun.
Merak Jalanan pernah tanya pada kawan Merak Jalanan, kenapa rakyat Malaysia suka menonton filem seram. Katanya:"Sekadar untuk seronok-seronok.”
Seronok dengan rasa takut?
Kebetulan Merak Jalanan terbaca berita seorang pesara warga Britain berusia 77 tahun meninggal dunia dalam pawagam semasa menonton filem seram Annabelle Comes Home semasa bercuti ke Thailand.
Bagi Merak Jalanan, ‘ketakutan’ bukan sesuatu yang menyeronokkan.