KOTA KINABALU - Lima belas pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan daripada 41 individu diperiksa dalam operasi yang dijalankan selama lima jam bermula 11 malam, Sabtu lepas.
Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, operasi itu dijalankan di lima lokasi termasuk di kawasan bandaraya Kota Kinabalu, Manggatal, Likas dan Luyang.
Iklan
Iklan
"Semua yang ditahan berumur antara 14 hingga 47 tahun dan akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi PATI yang didapati positif dadah," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Habibi berkata, operasi itu turut dibantu Pasukan Gerakan Am, Jabatan Pendaftaran Negara, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Sabah Electricity Sdn Bhd, Rela dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Beliau berkata, operasi itu akan dijalankan secara berterusan dan orang ramai dialu-alukan menyalurkan maklumat kepada polis.- Bernama