PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) semalam menubuhkan majlis penasihat bagi membantu menyumbang idea dan pengalaman untuk membangunkan pasukan The Red Warriors (TRW) selepas pelantikan pimpinan baru badan itu, Sabtu lalu.
Presidennya, Wan Rahim Wan Abdullah berkata, majlis tersebut akan dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah dan dibarisi 10 individu berpengalaman dalam sukan itu.
"Sehingga kini, seramai 10 orang telah bersetuju untuk bersama-sama dalam majlis tersebut terdiri daripada bekas-bekas presiden, timbalan presiden serta penggiat KAFA sebelum ini termasuklah mereka yang banyak memberi khidmat kepada arena bola sepak negeri sejak 1990-an.
"Dalam mesyuarat pertama semalam, kita juga turut melantik Husin Deraman sebagai setiausaha agung dan Datuk Dr Alex Ong sebagai bendahari, manakala Datuk Azman Ismail dan Asri Hussin dilantik untuk membantu pengurusan baki perlawanan untuk 2019.
"Jawatan-jawatan lain akan dilantik dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.
Turut hadir, kepimpinan tertinggi KAFA yang baru dilantik.
Menurutnya, mesyuarat tersebut turut memutuskan semua Yang Dipertua Bola Sepak Jajahan (PBJ) juga akan dijemput untuk hadir mesyuarat KAFA sebagai pihak yang berkepentingan dan boleh memberi pendapat dalam memajukan sukan bola sepak ini.
Ketika ditanya mengenai masalah kewangan yang melanda TRW kini, Wan Rahim berkata, satu mesyuarat khas juga akan diadakan pada 11 Julai bagi membincangkan secara menyeluruh mengenai perkara tersebut, termasuklah perancangan penajaan untuk masa depan.
"Ia merupakan tanggungjawab kita bersama dan saya memahami situasi yang sedang menghimpit pasukan kini. Insya-ALLAH kita akan bergerak bersama untuk mencari jalan penyelesaian terbaik buat mereka (pemain). Kos untuk musim akan datang pun kita belum muktamadkan lagi,” katanya.