Mengaku salah pamer nombor pendaftaran kenderaan lain

Iklan
Warga Singapura yang juga OKS didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret Khas Trafik, di sini hari ini.

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki warga Singapura mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Khas Trafik di sini hari ini atas pertuduhan mempamerkan nombor pendaftaran kenderaan lain, dua bulan lalu.

Tan Hock Lai, 44, yang juga Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Nurasidah A Rahman selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya oleh jurubahasa mahkamah.

Iklan
Iklan

Mengikut kertas pertuduhan, beliau sebagai pemandu kereta jenis BMW 320i didakwa telah menggunakan kenderaan tersebut di atas jalan raya dengan mempamerkan nombor pendaftaran kenderaan lain.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di stesen minyak di Lebuh Raya LinKedua, Gelang Patah, dekat sini sekitar jam 7.35 pagi, 18 Mei lalu.

Iklan

Beliau didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 108(3)(j) Akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak lebih RM20,000 atau dipenjarakan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Iklan

Mahkamah kemudiannya menetapkan hukuman denda sebanyak RM8,000 ke atas Hock Lai dan jika gagal membayar denda tersebut, boleh dipenjara setahun.

Gambar individu dipercayai menukar nombor pendaftaran kenderaan yang tular di media sosial.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Mohd Khairi Ismail manakala Hock Lai tidak diwakili mana-mana peguam.

Mengikut fakta kes, telah tular di media sosial kenderaan Singapura model BMW 320i warna emas di mana pemandunya telah menukar nombor pendaftaran kepada nombor lain di sebuah stesen minyak di Lebuh Raya LinKedua, Gelang Patah di sini, Mei lalu.

Berpandukan maklumat, pihak JPJ telah membuat siasatan, dan pada 2 Julai lalu, pemandu kenderaan tersebut bernama Tan Hock Lai telah hadir ke JPJ Johor dengan rela hati bagi tujuan siasatan.

Selepas disiasat, pemandu selaku pemilik kereta mengaku salah atas perbuatan yang dilakukan pada 18 Mei lalu, dan Notis JPJ (P)22 telah dikeluarkan kepada pemandu iaitu pemilik kenderaan tersebut atas kesalahan mempamerkan nombor pendaftaran kenderaan lain.