JOHOR BAHRU - Polis telah membuka kertas siasatan untuk mengenal pasti pihak terbabit menyebarkan berita palsu berhubung kematian seorang wanita yang didakwa mempunyai kaitan dengan insiden pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, tindakan diambil itu adalah susulan pihaknya menerima laporan polis yang telah dikemukakan keluarga wanita berkenaan, petang semalam.
"Kita sudah menerima laporan polis daripada keluarga mangsa yang menafikan perkara ini (kematian akibat pencemaran Sungai Kim Kim), dengan itu, tidak perlulah untuk percaya dengan berita-berita palsu ini.
"Siasatan akan dilakukan," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mes Pegawai Rendah Polis (PRP) dan Pejabat Persatuan PRP Negeri Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Mohd Khalil berkata, pihaknya juga jelas kecewa dengan tindakan tidak bermoral dilakukan itu selain berharap masyarakat tidak mudah mempercayai berita disebarkan pihak tanpa pengesahan rasmi.
"Itu sebab saya cakap sekarang ini masyarakat kita berpenyakit, bagi mereka yang suka sebarkan benda-benda seperti ini, sebenarnya mereka memang ada penyakit otak, sekarang faktanya kita polis tidak ada sahkan apa-apa kematian kenapa orang nak percaya.
"Mereka punya pengesahan ini buat apa nak percaya, jadi saya harap jangan buat begini kerana ia hanya menyusahkan masyarakat. Sepatutnya mereka ini mendoakan supaya orang sakit sihat walafiat, kenapa nak doa ada kematian pula, apa jahat sangat niatnya," katanya.
Beliau berkata, tindakan sedemikian boleh dikenakan hukuman yang serius selain secara tidak langsung menimbulkan keadaan huru hara tanpa disedari.
"Jadi jangan lupa, undang-undang tetap ada. Kita boleh siasat di bawah Seksyen 233 atau Akta Multimedia. Kita juga akan ambil tindakan kepada berita-berita palsu sebegini.
"Justeru, saya mahu ingatkan kepada masyarakat, cukup menyebarkan perkara ini. Pasir Gudang sekarang ini sedang krisis yang menyebabkan ramai orang susah, kita sedang dalam proses pembetulan dan pembaikan, kerajaan dah berusaha dan kita jabatan kerajaan pun dah berusaha," katanya.
Terdahulu, suami kepada wanita berkenaan dimaklumkan membuat laporan polis untuk menafikan kematian arwah isterinya ada kena mengena dengan insiden pencemaran Mac lalu selain kenyataannya telah dimanipulasi pihak tertentu.
Laporan polis yang dibuat lelaki dikenali sebagai A Bakar Abd Rahman, 47, itu telah dibuat di Balai Polis Taman Scientex, Pasir Gudang pada jam 6.59 petang semalam.
[ARTIKEL BERKAITAN: Suami terkilan kematian isteri dimanipulasi]