Mayat lelaki ditemukan terapung, tersangkut pada dahan kayu

Iklan
Anggota bomba dalam usaha menaikkan mayat mangsa yang ditemui pagi tadi. - Foto ihsan bomba Gambar kecil: Firdaus

SUNGAI PETANI - Lelaki yang dikhuatiri lemas ketika mandi-manda dengan rakannya di sebatang sungai di belakang Masjid Sultan Abdul Halim, Sidam Kiri di Tikam Batu dekat Sungai Petani, semalam, ditemukan mati pagi tadi.

Pegawai Operasi, Penolong Penguasa Bomba Balai Bomba Tikam Batu, Mohd Shukri Hashim berkata, mayat mangsa ditemukan terapung dan tersangkut pada dahan kayu kira-kira 350 meter dari tempat mangsa tenggelam pada jam 8.09 pagi.

Iklan
Iklan

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani untuk dibedah siasat.

Menurutnya, operasi mencari disertai 15 anggota termasuk Pasukan Penyelamat Di Air, Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia.

Iklan

Jenazah akan dibawa pulang ke Kampung Kuala Benut, Sungai Karangan, Padang Serai untuk dikebumikan.

Sementara itu, ibu mangsa, Rohana Osman, 57, dari Parit Buntar, Perak berkata, Allahyarham anaknya seorang yang ceria, suka menghiburkan orang lain tetapi tidak tahu berenang.

Iklan

"Firdaus yang tinggal di Sungai Karangan, Padang Serai dengan ibu saudara pernah beberapa kali mandi di sungai yang sama walaupun tak tahu berenang,' katanya.

Rohana menunjukkan gambar arwah yang meninggal dunia selepas maut di sungai semalam.

Menurutnya, dia hanya mengetahui kejadian yang mengorbankan anak kedua dari empat beradik itu kira-kira jam 7 petang semalam selepas dihubungi anak sulung yang berada di Pahang.

"Terkejut jugalah dapat tahu, mujur adik dia, Faizal, 32, yang menetap di Jawi, ziarah makcik di Parit Buntar, terus kami bergegas ke sini," katanya.

Menurutnya, sebelum ini, mereka diberitahu bahawa arwah ada ke sungai yang sama, tetapi mungkin mandi di kawasan cetek sahaja.

Sementara itu, Faizal berkata, Allahyarham ada menghubunginya dua minggu lalu mengajaknya ke Pahang bagi menziarahi arwah tok yang meninggal dunia, tetapi tidak kesampaian.

Faizal

"Saya kerja, lagipun kereta masuk bengkel, jadi tak dapat nak pi. Saya rasa serba salah sangat sebab tak dapat tunaikan permintaan terakhir dia.

"Bila dapat tahu dia lemas, saya sedih sangat sebab kami rapat. Kalau ada masalah atau nak mengadu apa-apa, dia akan cari saya," katanya.

Katanya, kali terakhir bertemu arwah ialah ketika hari raya lalu di rumah ibu mereka di Parit Buntar, namun tidak menyedari sebarang kelainan.