PENGENDALI Felda United, Mohd Nidzam Jamil kecewa dengan sikap 'lambat panas' anak buahnya dalam aksi menentang Selangor yang menyaksikan mereka tewas 1-2 di laman sendiri.
Jelas Nidzam, pemain The Fighters perlu mengubah sikap terutama ketika bertahan yang mana mereka sering melepaskan gol 'kebudak-budakan'.
"Kita kena kurangkan gol kebudak-budakan yang diberi kepada Selangor. Sepatutnya perkara asas seperti keluarkan bola dari kawasan bahaya pemain dah boleh faham. Ini tidak!
"Kita tak boleh bermain seperti Barcelona kerana kita tak ada kelebihan itu. Saya minta maaf sangat untuk cakap perkara ini. Sekarang bukan masa untuk pemain saya cuba bermain seperti apa yang mereka lihat di kaca televisyen.
"Kalau bola dalam kawasan bahaya, keluarkan sahaja. Kita tak boleh nak terus macam ini. Nak kena beritahu ketika masa rehat barulah nak datang balik beri cabaran," katanya.
Tambah Nidzam, pemain juga perlu ubah mentaliti mereka mampu lakukan kejutan di Liga Super sama seperti apa yang mereka lakukan di Piala FA sebelum ini.
"Jangan ingat tiap-tiap minggu kita boleh dapat keputusan seperti lawan Kedah yang mana kita mampu bangkit lepas ketinggalan dua gol. Tak boleh!
"Ini Liga Super, abang-abang yang main, bukan adik-adik. Saya sedar ada ramai pemain yang kurang pengalaman bermain di Liga Super, tapi kita tak boleh nak tunggu (dapat pengalaman) baru nak main bagus.
"Yang penting sekarang, kita kena kurangkan kesilapan-kesilapan mudah sebegini ini kalau nak kekal di Liga Super. Kalau tak ubah juga, sukarlah untuk kami," ujarnya lagi.