TEMERLOH - Keluarga mangsa kanak-kanak yang meninggal dunia dipercayai keracunan makanan baru-baru ini tidak menolak kemungkinan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang didapati bertanggungjawab dalam insiden terbabit.
Ibu saudara mangsa, Salbiah Mohamed, 35, berkata, tindakan yang akan dibuat bergantung kepada laporan perubatan susulan bedah siasat ke atas mangsa yang dijangka siap bulan depan.
Menurutnya, sebelum ini doktor ada menyatakan ia kemungkinan keracunan makanan.
"Tetapi kami mahukan kepastian dan akan mengambil tindakan selepas laporan perubatan siap.
"Kami tidak mahu terburu-buru kerana pihak perubatan telah mengambil semua sampel yang perlu bagi mengadakan ujian untuk mengenal pasti punca kejadian," katanya, di sini hari ini.
Anak keempat daripada tujuh beradik itu, Nursyasya Syauqina Roply, 10, meninggal dunia ketika berada di sisi ibunya yang turut menderita akibat sakit perut dan cirit-birit berikutan keracunan makanan pada 1 Julai lalu.
Dalam pada itu, Salbiah berkata, mereka sekeluarga amat merasai kehilangan Nursyasya yang juga seorang kanak-kanak ceria.
Katanya, selepas kira-kira seminggu kehilangan Nursyasya, mereka masih lagi terus berduka dan tidak dapat melupakan keletah mangsa yang begitu rapat dengannya.
"Sebenarnya dia memang rapat dengan kami dan banyak menghabiskan masa dengan kami. Itu yang membuatkan kehilangannya amat dirasai.
"Buat masa ini, ibunya juga tinggal di sini kerana dia tak sanggup balik rumah kerana terkenangkan anaknya itu," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Pahang kesal insiden budak mati keracunan makanan