Kegagalan PH tangani isu Felda punca kemarahan peneroka

Iklan
Dr Asyraf Wajdi Dusuki

SHAH ALAM - Pemuda UMNO mendakwa kemarahan peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) berpunca daripada kegagalan PH menyelesaikan isu dibangkitkan mereka sejak mengambil alih kerajaan.

Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, PH perlu menghentikan sikap menuding jari kepada kerajaan terdahulu berkaitan isu peneroka Felda sebaliknya memberi tumpuan ke arah usaha penyelesaian perkara yang dibangkitkan.

Iklan
Iklan

"Peneroka masih tidak nampak dasar produktif kerajaan untuk meningkatkan harga sawit di pasaran. Harga Buah Tandan Segar (BTS) sawit per tan masih berada di bawah paras pra-PRU14 iaitu RM369 setakat 5 Julai 2019 berbanding RM510 pada 30 April 2018 (sebelum BN tumbang).

"Harga Minyak Mentah Sawit (CPO) juga masih rendah iaitu RM1,872.00 setakat 5 Julai 2019 berbanding RM2,349.50 pada 30 April 2018 (sebelum BN tumbang).

Iklan

"Rata-rata kehidupan peneroka Felda skim sawit kini makin tertekan dengan pendapatan bulanan bersih hanya sekitar RM300-RM400 sebulan selepas ditolak kos operasi ladang dan pemotongan-pemotongan lain seperti hutang D'Mart, hutang sosio-ekonomi (pinjaman pembesaran rumah, komputer, usahawan), caruman keceriaan kampung, caruman tanam semula dan lain-lain. (Berbanding di zaman BN peneroka memperoleh pendapatan bulanan bersih sekitar RM2,500-RM4,000 sebulan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Asyraf Wajdi, sebab lain adalah ketiadaan wakil peneroka dalam Lembaga Felda untuk menjamin dan memperjuangkan nasib dan kepentingan peneroka di dalam sebarang keputusan penting di peringkat pengurusan tertinggi Felda tidak seperti di zaman BN memerintah.

Iklan

Katanya, cadangan kertas putih Felda untuk mengambil alih tanah-tanah milik mereka melalui pajakan jangka panjang oleh Felda juga menjadi sebeb di mana peneroka tidak lagi mempunyai suara dan kawalan ke atas aset tanah ladang yang telah puluhan tahun mereka nantikan surat pemilikan dari Kerajaan Negeri masing-masing.

"Kerajaan PH cuba mengelirukan peneroka bahawa sekiranya tanah-tanah peneroka diuruskan seperti estet, pulangan hasil peneroka lebih tinggi, walhal selama ini sebahagian ladang-ladang peneroka diuruskan secara berkelompok oleh Felda dan Felda Technoplan (FTP) tanpa kehilangan kawalan milikan tanah ladang mereka," katanya.

Punca lain katanya, adalah berkaitan pelupusan hutang peneroka yang dicadangkan tidak memberikan layanan yang adil kepada peneroka yang bertanggungjawab membayar hutang dan sifar hutang. Tiada perbincangan dan perincian mengenai kaedah dan kadar pelupusan hutang peneroka setakat ini.

"Seramai 7,839 peneroka adalah sifar hutang dan mereka telah lebih awal berdikari dan mandiri. Felda seharusnya memberikan bayaran tunai yang setimpal kerana mereka tidak akan menerima apa-apa manfaat dari pelupusan Hutang Peneroka yang dicadangkan oleh Kerajaan.

"(Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed) Azmin Ali juga ternyata gagal meyakinkan Perdana Menteri dan terutamanya rakan kabinetnya dari Kementerian Industri Utama, Teresa Kok untuk meningkatkan harga minyak sawit global melalui pelbagai usaha meluaskan eksport kelapa sawit negara ke pasaran baru dan meningkatkan permintaan pasaran sedia ada seperti China, India, Pakistan serta Kesatuan Eropah (EU)," katanya.

Justeru pihaknya memandang serius dan turut merasai kekecewaan dan keperitan hidup selama 13 bulan warga peneroka selepas pemerintahan baharu kerajaan PH.

"Pemuda UMNO mendesak agar Kerajaan segera menghentikan sandiwara menyalah kerajaan lama. Sebaliknya fokuslah kepada usaha menangani isu peneroka secara tuntas dan komprehensif sebagaimana yang dimanifestasi mereka dalam Hari Peneroka Kebangsaan kelmarin," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Peneroka tinggalkan majlis, ini jawapan Ketua Peneroka Felda

Terdahulu, satu video yang tular dengan memaparkan sebilangan pengunjung seperti meninggalkan majlis Sambutan Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan 2019 di Felda Selancar 3 Pahang semalam ketika Dr Mahathir sedang berucap.

Bagaimanapun Ketua Peneroka Kebangsaan Felda, Sulong Jamil Mohd Shariff menafikan dakwaan mengatakan peneroka tidak suka dengan ucapan Tun Dr Mahathir Mohamad sebliknya tindakan peneroka bangun daripada tempat duduk masing-masing kemungkinan untuk mengambil makanan yang disediakan penganjur.

Ujarnya, bilangan yang beransur tidak ramai berbanding lebih 14,000 peneroka yang hadir dan setia mendengar ucapan Dr Mahathir.