SHAH ALAM - Waris kepada Sasterawan Negara, Allahyarham Usman Awang melahirkan rasa tidak puas hati terhadap penggunaan Bahasa Inggeris dalam poster pementasan bertajuk Don’t Let Usman Awang Know.
Menurut Haslina Usman, walaupun pihaknya mengetahui bahawa pementasan itu menggunakan pelbagai bahasa namun mereka mempersoalkan tentang penggunaan Bahasa Inggeris dalam poster pementasan drama tersebut.
Jelas beliau, ahli keluarganya mahu supaya terjemahan tajuk"Don’t Let Usman Awang Know” dalam Bahasa Melayu dibuat termasuk sari kata dalam Bahasa Melayu dalam semua pementasan yang berbahasa lain daripada Bahasa Melayu.
"Kami memohon ini atas pendirian dan perjuangan arwah ayah memartabatkan Bahasa Melayu selama penghidupannya.
"Harap hormat juga atas status beliau sebagai Sasterawan Negara. Harap semua yang terlibat maklum dan bertindak dengan kadar segera," katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini.
Pementasan drama"Don’t Let Usman Awang Know” yang akan berlangsung di Klpac pada 11 Julai ini hingga 14 Julai ini memaparkan tujuh karya yang diinspirasikan oleh Sasterawan Negara itu dan digarap oleh tujuh orang pengarah.
Tajuk pementasan drama tersebut ialah Guru Oh Guru, Calling 1969, Almari: Perjuangan, Trapped, Udara, Pisang Goreng dan Kekasih.
Pementasan anjuran Muka Space dan Yayasan Hasanah itu melibatkan Penerbit Eksekutif, Datuk Dr Faridah Merican, Pengarah Artistik, Joe Hasham dan Penerbit, Easee Gan. Ia diadakan sempena ulang tahun kelahiran Usman yang ke-90.