Penghuni Penjara Tapah terlatih

Iklan
Sebahagian bantuan wanita yang terlibat dengan proses pembuatan sos di Penjara Tapah.

BANDUAN pada masa kini boleh dianggap sebagai golongan bertuah kerana mereka diberikan latihan dan kemahiran yang diiktiraf oleh kerajaan.

Sepanjang tempoh hukuman, mereka dibekalkan dengan kelas kemahiran dianugerahkan sijil Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) apabila mereka bebas dari penjara kelak.

Iklan
Iklan

Sejak 2012 sehingga kini, terdapat seramai 602 penghuni di Penjara Tapah yang telah bebas dan memiliki pelbagai kemahiran mendapat sijil SLDN.

Penjara Tapah menawarkan pelbagai latihan kemahiran kepada banduan seperti juru-teknik rendah elektronik industri peralatan, pembuatan perabot, menjahit, peghasilan roti, kelas pastri, pekerja ladang ruminan dan jurukimpal arca logam.

Iklan

Kisah banduan bernama Priya

Menyoroti kisah penghuni tirai besi di Tapah, Priya (bukan nama sebenar), 36, pasrah dengan hukuman penjara selama sembilan tahun kerana kesalahan pecah amanah.

Dia yang menyesali perbuatan jenayah itu kini bertekad untuk beru-bah apabila mahu memanfaatkan setiap detik yang dilalui di penjara itu bila keluar nanti.

Iklan

"Penjara Tapah membuka peluang kemahiran kepada banduan di sini dan saya mahu belajar membuat roti.

"Saya memang minat dengan bengkel pastri dan menimba ilmu kemahiran dengan bantuan tenaga pengajar profesional dan pegawai penjara.

Bengkel pastri di Penjara Tapah membekalkan kemahiran kepada banduan seperti Priya dan Kavita.

"Sijil SLDN yang bakal saya peroleh nanti akan memberi banyak faedah untuk saya menjalani kehidupan baharu selepas bebas nanti," katanya.

Priya yang berbaki hukuman kira-kira tiga tahun lagi di penjara itu mempunyai dua orang anak yang kini dijaga oleh ibunya setelah berpisah dengan suami.

Selepas kerjayanya sebagai pegawai bank musnah gara-gara jenayah pecah amanah itu, Priya merancang memanfaatkan kemahiran pastri sebagai tapak sumber rezeki baharu selepas bebas nanti.

"Bila saya dah ada kemahiran buat kek ini mungkin boleh membuat perniagaan atas talian sahaja," katanya.

Tempoh hukuman penjara selama 12 tahun yang perlu dilalui oleh Kavita (bukan nama sebenar), 46, benar-benar membuatkan dia insaf.

Wanita yang berasal dari Ipoh menerima balasan atas kesalahan melakukan pecah amanah ke atas kedai emas milik mendiang suami sendiri.

Setelah tujuh tahun lapan bulan menghuni Penjara Tapah, Kavita mengikuti pelbagai bengkel kemahiran."Di sini banyak benda yang saya belajar. Saya belajar memasak. Walaupun di luar sana ibu saya mempunyai perniagaan katering tetapi saya tidak pandai sangat memasak.

"Semasa dalam penjara ini, saya boleh masak, buat kek, memproses sos dan lebih membanggakan saya sudah mampu memasak untuk keperluan katering.

"Lebih seronok saya kini sudah pandai masak masakan Melayu," ujar Kavita dalam nada gembira.

Ibu kepada dua orang anak itu menjelaskan dia mempunyai perancangan membuka sebuah restoran dan dia bersyukur atas sokongan dan motivasi para pegawai sepanjang menjalani tempoh hukuman.

Mat akui penjara platform terbaik baiki kesalahan diri

Mat (bukan nama sebenar), 43, yang berasal dari Teluk Intan, Perak pula terpaksa bersendirian menanggung hukuman penjara 10 tahun atas kesalahan melakukan jenayah samun berkumpulan.

Dia yang sudah hidup di sebalik tirai besi sejak 2014 kini hanya menunggu baki hukuman selama setahun sebelum kembali ke dunia luar.

Menurut Mat, hukuman penjara yang dijalani kini merupakan kali kedua dilaluinya selepas pernah dipenjara dua tahun oleh mahkamah tentera kerana kesalahan disiplin.

Kilang roti Penjara Tapah memberikan kemahiran baharu kepada Mat dan juga penghuni lain di situ.

Mat juga adalah antara banduan berkemahiran dalam bidang pembuatan roti kerana menjadi perintis kepada kilang roti di Penjara Tapah yang dibuka sejak 2015.

"Walaupun di sini saya menjalani hukuman tetapi saya seronok sebab dapat belajar. Di sini juga kami dapat sijil SLDN, jadi kami belajar macam-macam untuk membuat donat, kek cawan, piza dan lain-lain.

"Memang saya sudah mahir buat roti dan insya-ALLAH saya ada perancangan untuk membuat perniagaan tetapi cuma mungkin masalah modal nanti," katanya.

Dia yang pernah berkhidmat sebagai tentera selama 16 tahun itu mempunyai seorang anak yang kini berusia tujuh tahun dan isteri yang menetap di Alor Setar, Kedah.

Sementara itu, Mat mengakui program pemulihan yang disediakan di Penjara Tapah amat baik dan banyak membantu banduan untuk memperoleh kemahiran.

"Macam bengkel roti ini, bila kami keluar nanti ada pengalaman bekerja untuk membuat roti dan berdikari di luar sana.

"Banyak faedah dan pengajaran yang saya dapat di sini. Insya-ALLAH saya nekad tak mahu lagi terlibat dengan jenayah," jelasnya.

Tirai besi beri keinsafan mendalam kepada Babang

pengalaman pahit kali kelima bergelar penghuni penjara mem-berikan keinsafan mendalam bagi Babang (bukan nama sebenar), 32, yang berasal dari Klang, Selangor.

Babang menceritakan pengalaman berharganya sepanjang menjadi penghuni tirai besi.

Kesalahan memiliki senjata tajam dan dijatuhkan hukuman selama enam tahun merupakan kronologi terbaru dalam kehidupan hitamnya selepas sebelum ini dia meringkuk di dalam penjara akibat penyalahgunaan dadah dan curi motosikal.

"ALLAH masih sayangkan saya. Di sini saya belajar agama, kemahiran dan saya sentiasa berdoa semoga Dia menjauhkan saya daripada segala perbuatan tak baik selepas keluar nanti.

"Bagi saya, penjara ini adalah tempat untuk saya jalani hukuman dan belajar perkara-perkara di sebalik tembok batu ini untuk kebaikan diri sendiri," katanya.

Pengalaman membuat roti selama hampir setahun dalam penjara ini telah membolehkan Babang membantu rakan-rakan semasa proses membuat roti bagi kakitangan yang tidak cukup.

Akuinya, masih belum ada perancangan lagi apabila keluar dari penjara kerana mahu mendalami ilmu agama dan menambah kemahiran diri.