Imigresen peruntuk rm139 juta kos pengurusan operasi depot tahanan

Iklan

KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen Malaysia memperuntukkan RM139 juta setahun bagi kos pengurusan operasi seperti penyelenggaraan dan makanan di 14 depot tahanan di seluruh negara.

Ketua Pengarahnya Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata daripada jumlah itu, RM80 juta adalah untuk kos penyediaan makanan kepada tahanan mengikut diet yang disyorkan Kementerian Kesihatan.

Iklan
Iklan

"Kualiti makanan tahanan diperiksa setiap masa bagi memastikan makanan dalam keadaan baik dan sampel makanan harian akan dilabel serta disimpan selama tiga hari untuk tujuan pemantauan.

"Jika makanan yang diberi teruk, sudah tentu ada kes keracunan tetapi lihat tiada kes keracunan berlaku dan ini menunjukkan yang makanan disediakan capai kualiti ditetapkan,” katanya dalam sidang media di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil di sini, hari ini.

Iklan

Beliau mengulas laporan kononnya Imigresen memberikan layanan buruk terhadap tahanan warga Filipina di Depot Tahanan Bukit Jalil baru-baru ini dengan memberi makanan basi.

Mengulas lanjut, Khairul Dzaimee menafikan yang pihaknya mengambil barang peribadi milik tahanan kerana setiap barang dibawa akan direkodkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Iklan

" Imigresen mempunyai sistem rekod serta SOP yang perlu dipatuhi dan semua barang peribadi akan diserahkan kepada tahanan apabila mereka keluar dari depot,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya tidak menerima aduan rasmi daripada kerajaan Filipina berhubung dakwaan layanan buruk tahanan warga itu di depot tahanan.

"Imigresen tidak bercadang mengambil tindakan terhadap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membuat dakwaan sebaliknya kami ingin memberi pendedahan berhubung SOP di depot tahanan.

"Kami (Imigresen) ada menerima surat penghargaan daripada NGO yang membuat dakwaan minggu lepas yang memuji tindakan Imigresen,” katanya.

Pada Jumaat, media tempatan melaporkan yang sebuah NGO mendakwa tahanan warga Filipina yang diusir diberikan layanan buruk ketika berada dalam tempoh tahanan di Depot Tahanan Bukit Jalil selain barang mereka dirampas pihak berkuasa. - Bernama