SINTOK - [DIKEMASKINI] Sikap jujur seorang peniaga durian yang hanya menjual isinya yang elok dengan harga RM25 sekilogram di jalan Kampung Changkat Setoi, Batu 15, Jalan Sintok sejak Aidilfitri lalu diserbu oleh peminat raja buah tersebut.
Penjualnya, Mohd Izzuwan Ismail, 30, berkata, idea itu timbul selepas dia terbeli buah durian yang isinya tidak berkualiti dan buruk beberapa kali sebelum ini.
"Saya juga pernah beberapa kali beli durian tapi buahnya buruk. Sudah tentu orang lain juga akan rasa macam itu. Mungkin ada yang menyumpah peniaga durian.
"Disebabkan itu saya mengambil keputusan untuk menjual dengan menimbang isi durian tanpa kulit.
"Pembeli juga puas hati kerana mendapati isi yang baik manakala isi yang buruk kami asingkan siap-siap. Alhamdulilah banyak pelanggan sama yang datang membeli durian dalam bekas ini," katanya ketika ditemui di gerai buah milik keluarganya.
Usaha mekanik motosikal tersebut mendapat pujian orang ramai dan netizen selepas gambar adiknya, Mohd Izzul Hakimi, 18, sedang membuka durian di gerai itu ditularkan oleh seorang pembeli durian di laman sosial, semalam.
Pembeli tersebut yang dikenali sebagai Nur Hajar melalui Facebooknya mendoakan agar rezeki penjual buah tersebut dimurahkan.
Tambah Mohd Izzuwan, buah durian yang tidak elok akan dibukanya untuk memilih isi yang baik sebelum dijual di dalam bekas dengan harga RM25 sekilogram.
"Buah yang elok sahaja tidak dibuka dan dijual dengan harga RM8 sehingga RM25 sekilogram mengikut jenis.
"Jika saya dapati ada durian seperti udang merah sekali pun yang sedikit rosak tetap saya buka untuk dicampur dengan jenis lain dan dijual dengan harga RM25 sekilogram," katanya.
Mohd Izzuwan berkata, beliau berjaya menjual lebih 200 buah durian setiap hari yang diperolehinya dari sekitar Changlun walaupun berniaga di hujung kampung.
Katanya, perniagaannya juga mendapat perhatian dari luar Changlun apabila turut dijual di atas talian dan membuat penghantaran ke kawasan lain.
"Baru-baru ini saja saya telah membuat penghantaran 20 bekas durian ke Langkawi dan banyak lagi pesanan yang telah diterima," katanya.