KUALA LUMPUR - Diberi makanan berkhasiat empat kali sehari, disediakan kemudahan dalam blok kurungan yang lengkap dengan sudut bacaan dan permainan kanak-kanak serta kemudahan katil untuk ibu mengandung dan wanita yang mempunyai anak.
Keadaan itu ibarat pusat kebajikan meskipun ianya adalah Depot Tahanan Imigresen yang terletak di Bukit Jalil di sini yang sehingga kini menempatkan 1,438 tahanan lelaki dan wanita warga asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, peruntukan sebanyak RM139 juta setahun disediakan bagi kos pengurusan operasi seperti penyelenggaraan dan makanan di 14 depot tahanan di seluruh negara termasuk di Bukit Jalil.
Menurutnya, daripada itu,RM80 juta adalah untuk kos penyediaan makanan kepada tahanan mengikut diet yang disyorkan Kementerian Kesihatan.
"Jadi dakwaan menyatakan berlaku layanan buruk terhadap tahanan di sini adalah tidak benar sama sekali termasuk dakwaan diberi makanan basi yang dilabel layak untuk haiwan kerana kualiti makanan tahanan diperiksa setiap masa.
"Jika makanan yang diberi teruk, tentu ada kes keracunan makanan melibatkan jumlah tahanan yang ramai,"katanya pada sidang media sempena lawatan beliau bersama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) ke Depot Imigresen Bukit Jalil, di sini hari ini.
Beliau mengulas dakwaan satu badan bukan kerajaan dari Filipina kononnya Imigresen memberikan layanan buruk terhadap tahanan wanita dan kanak-kanak warga Filipina di Depot Tahanan Bukit Jalil di sini baru-baru ini dengan memberi makanan basi dan beberapa perkara berbangkit lain.
Laporan di laman web Filipina Migrante International pada 4 Julai lalu turut mendakwa hampir semua barang milik tahanan itu dicuri warden dan pegawai imigresen ketika mereka dalam tahanan.
Malah laporan turut mendedahkan ‘muster’ atau pemeriksaan rutin setiap lima minit dari pukul 7 pagi hingga 12 tengah malam dimulakan dengan teriakan warden tahanan dan pegawai jabatan itu.
Mengulas lanjut, Khairul Dzaimee menafikan pihaknya mengambil barang peribadi milik tahanan kerana setiap barang dibawa akan direkodkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan yang mana semua barang peribadi akan diserahkan kepada tahanan apabila mereka keluar dari depot.
"Mengenai teriakan warden tahanan, warden dan pegawai depot hanya menggunakan suara nada yang tinggi untuk memberi arahan agar semua tahanan dapat mendengar dengan baik memandangkan perlu mengendalikan tahanan yang ramai,"katanya.
Susulan daripada dakwaan itu, beliau bagaimanapun berkata Imigresen tidak bercadang untuk mengambil sebarang tindakan lanjut terhadap pihak yang membuat dakwaan berkenaan sebaliknya hanya mahu mendedahkan SOP sebenar di depot berkenaan.
Kes tahanan Filipina itu bermula pada 14 Jun lalu apabila Jabatan Imigresen telah menjalankan OPS PINTU di Kajang, Selangor yang telah menahan lapan warga asing termasuk tiga kanak-kanak dan penjaga kanak-kanak itu diminta menghubungi ibu bapa kanak-kanak berkenaan namun gagal.
Ibu bapa kanak-kanak berkenaan hanya datang melawat pada 24 Jun lalu dan selepas selesai siasatan dan mendapat keputusan Timbalan Pendakwa Raya, mereka diusir ke negara asal pada 3 Julai lalu dan setiba di Manila telah memberi dakwaan berunsur fitnah mengenai layanan dan pengalaman buruk di depot itu.