BESUT- Akibat tidak mahu anak mereka terus hanyut dengan najis dadah, memaksa dua keluarga menyerahkan anak mereka itu kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Besut semalam.
Ketua Pegawai AADK Besut, Norhafizza Mat Zin berkata, remaja tersebut berusia 14 tahun dari Kampung Air Tawar manakala seorang lagi berusia 17 tahun dari Kampung Gong Nangka, Jertih.
Menurutnya, remaja pertama diserahkan oleh ibu dan kakaknya yang datang ke pejabat AADK Besut di Wisma Persekutuan di sini semalam sementara remaja kedua datang bersama bapanya.
"Keluarga menyerahkan remaja terbabit kerana mahu memastikan anak mereka dapat dipulihkan dari awal memandangkan sekarangpun mereka sukar dikawal apabila kerap tidak pulang rumah.
"Keluarga tidak mahu remaja terbabit semakin sukar dirawat atau terlibat dengan gejala negatf seperti jenayah suatu hari nanti,” katanya.
Norhafizza berkata, kedua-dua remaja berkenaan mengaku baru terjebak dengan penagihan pil kuda selepas terpengaruh dengan kawan-kawan.
Menurutnya, mereka bersetuju untuk menjalani rawatan dan pemulihan di Pusat Pemulihan Narkotik (Puspen) Karangan, Kedah selama dua tahun.
"Remaja terbabit juga diperintah menjalani pengawasan di AADK Besut selama dua tahun selepas itu.
"Keluarga remaja-remaja ini mengambil tindakan yang betul kerana membawa anak mereka ke AADK untuk menjalani rawatan dan pemulihan sebelum menjadi parah,” katanya.