PASIR GUDANG - Umno percaya proses melakukan pembaharuan dalam parti akan diberi perhatian lebih gigih selepas berlakunya perubahan pucuk pimpinannya.
Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Umno juga percaya perubahan dilakukan dapat mengurangkan isu dalaman.
"Ia membolehkan Umno terus beri fokus kepada usaha menjadi pembangkang yang berwibawa dan berkesan," katanya ketika ditemui selepas hadir program I'm Ready For School anjuran Johor Volunteers di Dewan Terbuka Taman Cendana di sini, hari ini.
Mohamed Khaled berkata, Umno amat jelas sebagai parti yang akan melindungi dan menjaga kepentingan orang Melayu serta rakyat Malaysia amnya.
"Kita akan lantang menyatakan pendirian kita mengenai perkara yang akan menjaga kedudukan orang Melayu dan agama Islam," katanya.
Dalam pada itu, menurutnya, terlalu awal untuk membuat dakwaan bahawa Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan dibayangi presiden berikutan kini menjalankan tugas Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu.
"Biarlah Tok Mat menjalankan tugasnya dengan sokongan dan kerjasama daripada kami semua.
"Saya percaya tindakan Datuk Seri Zahid itu adalah ikhlas untuk kepentingan dan keutamaan kepada parti, orang Melayu, agama Islam," katanya mengulas persepsi berkenaan.
Ketua Umno Bahagian Pasir Gudang itu tidak menolak kemungkinan persepsi tersebut dibangkitkan oleh musuh Umno dan pihak yang tidak mahu parti berkenaan kembali pulih serta kuat.