Bazar Pechong suram, kurang pengunjung

Iklan
Keadaan kipas di Bazar Pechong yang sudah lama tidak berfungsi sejak banjir 2014 lagi.

TANAH MERAH - Peniaga di Bazar Pechong di daerah ini mengharapkan agar pihak berwajib dapat menyelenggara keadaan infrastruktur termasuk kipas, lampu kalimantang, kerusi, meja makan dan kawasan tandas yang semakin uzur dan kini kurang dikunjungi.

Seorang peniaga, Nursyazwani Mohd Zain, 31, berkata, tahap kebersihan juga kurang memuaskan selepas banjir 2014 lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hampir enam tahun dia menjalankan perniagaan makanan di kawasan ini, pelanggan mula kurang selepas musim banjir dan keadaan tapak jualan juga makin suram.

"Kami harap supaya pihak berwajib dapat tingkatkan penyelenggaraan kawasan ini termasuk dari segi kebersihan dan kemudahan lain supaya dapat menarik ramai pelanggan terutamanya pekerja di jabatan kerajaan yang sebelum ini merupakan pengunjung tetap," katanya.

Iklan

Nursyazwani juga berkata, pendapatan hasil jualan juga turut berkurangan berbanding dulu.

"Jika dahulu saya boleh untung bersih RM800 dalam sehari, namun kini nak sampai RM400 pun payah.

Iklan
Kawasan tempat duduk di Bazar Pechong yang perlu penyelenggaraan dan dibaiki.

"Harapan peniaga di sini agar pembaharuan dapat dilalukan di kawasan bazar ini supaya dapar menarik ramai pengunjung dan ia menjadi meriah seperti sebelum ini," katanya.

Sementara itu, seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Siti Zubaidah berkata, masalah atap zink bocor ketika hujan juga menyebabkan dia tidak dapat menjalankan urusan perniagaan.

"Kawasan depan kedai basah dan air juga bertakung, jadi macam mana kami nak berniaga?

"Harap pihak berkenaan dapat selesaikan masalah ini, lagipun kami hanya harapkan sumber pendapatan hasil berniaga dan tidak mempunyai pendapatan lain," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Daerah Tanah Merah, Fiesal Abdullah berkata, setakat ini pihaknya sudah mengadakan perbincangan dan mengangkat perkara ini kepada pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

"Kita akan menjalankan tindakan susulan dan dalam masa terdekat akan menyelenggara kemudahan asas termasuk keadaan lampu dan kipas yang tidak berfungsi.

"Di samping itu kita juga akan membersihkan kawasan semak dan menebang pokok Palma di sekitar bazar itu dalam usaha mempromosi semula kawasan berkenaan yang satu ketika dahulu menjadi tumpuan ramai.