KUALA KANGSAR - Selepas lama mendiamkan diri, bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir kembali mengadakan program di negeri ini bersama rakyat di Manong, petang tadi.
Zambry yang juga ADUN Pangkor hadir meluangkan masa lebih tiga jam bersama penduduk sekitar Manong bermula dengan sesi beramah mesra diikuti minum petang sebelum mengadakan sesi dialog mengenai suasana politik tanah air.
Turut hadir pada program berkenaan Yang Dipertua Pas Kuala Kangsar, Datuk Khalil Idham Lim Abdullah, Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar yang juga ADUN Bukit Chandan, Maslin Sham Razman dan ADUN Manong, Mohd Zuraimi Razali.
Menurut Zambry, kemunculannya itu bukanlah sesuatu yang luar biasa bahkan hanyalah sekadar membantu Ketua Pembangkang DUN Perak yang juga Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad.
"Apa yang saya lakukan adalah membantu Saarani dan ia bukan merupakan satu perkara luar biasa kerana kemunculan saya lebih untuk membantu.
"Saya juga diminta oleh Pengerusi UMNO Perak agar dapat turun bersama memainkan peranan dalam membahagikan tugas," katanya kepada pemberita selepas program berkenaan di Kedai Pau Manong, petang tadi.
Ditanya sekiranya beliau mempunyai perancangan untuk mengadakan siri jelajah bertemu dengan rakyat negeri ini, Zambry berkata, jika perkara tersebut dirancang oleh Saarani, beliau akan menyertainya.
"Hari ini cukup mengejutkan kerana sambutan yang luar biasa di mana kita anggar kurang 200 orang akan hadir tetapi lebih daripada 300 penduduk Manong memberi sokongan walaupun hujan.
"Sememangnya program santai sebegini ramai yang meminatinya dan maklum balas masyarakat Manong dengan kehadiran saya amat menggalakkan," katanya.
Zambry turut menegaskan dia akan memberi sokongan kepada Saarani selaku Ketua Pembangkang di negeri ini dan tidak akan membiarkan Saarani sendirian dalam menjalankan tugasnya.
"Saarani perlu sokongan dalam satu pasukan dan kita tidak boleh biarkan dia seorang laksanakan tugas kerana Perak negeri besar dan kita memerlukan setiap anggota yang berpengalaman," katanya.