"MENANGIS Je," itu antara luahan pendakwah dan penceramah motivasi tidak asing lagi, Ustaz Ebit Lew yang sering berkongsi aktiviti dakwah jalanannya dan juga kepada golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Namun perkongsian Ebit, 35 yang terkenal dengan tagline 'ALLAH Sayang' kali ini sangat merumtum jiwa bukan sahaja kepada ustaz sendiri tetapi para warganet.
Malam tadi dia meneruskan aktiviti dakwahnya seperti biasa, tetapi kali ini berbeza kerana memilih kelab malam sebagai lokasi.
Sedia maklum, kelab malam adalah tempat hiburan bagi anak-anak remaja tidak kira bangsa dan agama untuk menari, mendengar muzik dan meminum air nikmat dunia (arak). Di dalam kelab malam akan di sediakan dengan minuman keras yang berharga sehingga mencecah ribuan ringgit.
Katanya, dia berasa sebak, sedih dan sayu di hati apabila pergi berdakwah di kelab malam semalam kerana di situ penuh sesak dengan anak muda yang pastinya beragama Islam sedang beratur dan keluar dan masuk kelab malam.
"Ramai anak remaja baik-baik sahaja apabila diberi nasihat. Senyuman dan wajah mereka macam anak di rumah. Ada yang ajak bergambar. (Namun) Ada ramai juga cabut lari.
"Sebak, apabila berbual dengan beberapa remaja perempuan (berusia) 20-an. Ustaz, kami tak solat langsung. Kami kotor dengan dosa. ALLAH maafkan kami tak?. Kami berzina, mabuk, ambil pil dan dadah, boleh solat tak?
"Adik baik, ALLAH sayang. Dia beri adik iman. Syukurlah pada ALLAH dan mula jaga solat. Jangan pernah tinggal solat. Doalah ALLAH beri kekuatan tinggal maksiat yang lain-lain. Bahagia bila dekat diri pada ALLAH. Taat juta kali lebih nikmat dari maksiat. Taubat itu sangat bahagia," tulisnya di Instagram (IG) miliknya.
Katanya, dalam 100 orang ditemuinya dan sempat berdakwah hampir semuanya sudah lama tinggalkan solat yang merupakan tiang agama.
Ada beberapa orang solat satu atau dua waktu sahaja dan paling sedih apabila ada yang memakluman bahawa mak dan ayah mereka sudah meninggal.
"Ada yang ayah garang kuat belasah anak-anak, mak ayah jauh dekat kampung. Ada yang mak ayah sudah meninggal dunia. Ada juga yang memang mak ayah mereka tak kisah. Ramai yang sebenarnya baik kurang kasih sayang. Sanggup habis sekurangnya RM200 seorang. Arak macam air mineral minum," tulis.
Kongsinya lagi, menjelang 4 pagi, anak muda mula keluar kelab dalam keadaan mabuk dan menjerit-jerit.
Malah lelaki dan perempuan tanpa segan silu melakukan perkara yang tidak senonoh (bercium-ciuman) di khalayak ramai.
Melihat suasana itu, apabila anak muda Islam dengan berpakaian seksi rasa seperti di Amerika Syarikat.
"Semua muda-muda lagi pangkat adik-adik (dengannya). Saya teringat anak-anak dekat rumah sahaja. Sudah tua saya, begini nasib anak muda Islam. Apalah nak jawab pada Nabi (S.A.W) dan sahabat rhum esok. Maafkanlah diriku y ALLAH," tulisnya.
Katanya lagi, sejak semalam, dia belum dapat tidur dan menangis ingat mereka.
"Sayang dan kasihan mereka. Menangis sahaja balik dakwah anak muda semalam. Mereka baik-baik. Suka dengar nasihat. Rindu nak tanya soalan-soalan agama. Ya ALLAH bantulah dan berkatilah hidup anak-anak ini semua. Selamatkanlah mereka dari dunia ini arak, maksiat, dadah, tak solat," tulisnya.
Malah beliau juga memohon agar para pengikutnya turut mendoakan anak-anak muda itu kembali ke pangkal jalan.