ABU DHABI - Seorang jutawan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) merancang untuk menunda aisberg ke Australia atau Afrika Selatan pada tahun ini yang menelan kos AS$80 juta (RM330 juta).
Abdullah Alshehi berkata, sebahagian daripada ais itu akan ditunda ke Cape Town atau Perth.
Misi tersebut akan bertindak sebagai ujian untuk projek lebih besar yang diharap dapat membawa pulang bongkah ais gergasi itu ke UAE.
Matlamat utama adalah untuk menyediakan bekalan air minuman bersih selain menjadi tarikan pelancong.
Ketika wawancara bersama Inspire Middle East yang merupakan sebuah program Euronews, Alshehi memberitahu, kajian dibuat beliau mendapati membawa pulang aisberg adalah jauh lebih murah berbanding menggunakan air penyahgaram.
"Loji penyahgaram memerlukan modal pelaburan yang besar dan tindakan mengepam sejumlah besar air laut ke teluk boleh membunuh hidupan marin.
"Kami percaya rancangan ini adalah lebih baik dari segi ekonomi dan lebih mesra alam apabila menggunakan aisberg tidak hanya di UAE bahkan di seluruh dunia," jelasnya.
Menurutnya lagi, skim sama pernah dicuba Arab Saudi, namun projek itu gagal kerana masalah teknikal pada 1977.
Beliau merancang untuk mengatasi masalah itu dengan menggunakan 'tali' logam yang akan diikat pada sekeliling aisberg tersebut sebelum ditarik bot.
Perjalanan selama 10 bulan dari Pulau Heard berhampiran Antartika ke pantai Fujairah sejauh 8,800 kilometer itu dijangka akan menyebabkan kehilangan kira-kira 30 peratus bongkah ais gergasi tersebut.
UAE adalah salah satu negara paling gersang di dunia kerana taburan hujan kurang 100 milimeter setahun, namun penggunaan air di negara Abu Dhabi adalah dua kali ganda purata kebangsaan global yang meletakkan ia pada risiko kemarau teruk dalam tempoh 25 tahun akan datang. - Agensi