Dugaan sertai ekspedisi daki bukit

Iklan
Mangsa yang patah kaki kiri dibawa turun menggunakan alat pengusung oleh pasukan penyelamat. (Gambar kecil, mangsa tiba di khemah operasi bomba pada jam 10.46 malam tadi sebelum dibawah ke klinik kesihatan berdekatan.)

DUNGUN - Gara-gara kaki tersangkut pada akar pokok lalu terjatuh, seorang pendaki wanita cedera semasa menyertai ekspedisi bersama 24 pendaki lain di Bukit Tobat, Hulu Dungun.

Dalam insiden kira-kira jam 12.45 tengah hari semalam itu, wanita berusia 49 tahun berkenaan patah kaki kiri ketika menuruni bukit bersama pendaki lain.

Iklan
Iklan

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Al Mukhtafi Bilah Shah, Penolong Penguasa Bomba Zul Azman Jamaludin berkata, semasa kejadian kumpulan pendaki itu dalam perjalanan pulang ke tapak kem yang terletak di kawasan rekreasi Cemerong.

Menurutnya, kumpulan pendaki itu melakukan ekspedisi pendakian sejak Sabtu lalu di kawasan terbabit.

Iklan

"Akibat kaki tersangkut pada akar pokok, mangsa terjatuh bersama muatan yang dibawa di belakangnya.

"Kejadian itu mengakibatkan mangsa patah kaki kiri dan rakannya yang lain bertindak menghubungi pihak berkuasa bagi meminta bantuan," katanya.

Iklan

Zul Azman berkata, BBP AMBS menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.59 tengah hari dan segera bergegas ke lokasi kejadian bersama kekuatan sebuah jentera dan 13 orang anggota bomba.

Katanya lagi, pihaknya mengambil masa hampir sejam untuk tiba di tapak kem tersebut berikutan jarak balai bomba dan tapak kem ialah sejauh kira-kira 45 kilometer.

"Kita turut mendapat bantuan anggota polis daripada Balai Polis Kuala Jengai, malim gunung, Jabatan Perhutanan dan beberapa pihak lain.

"Anggota penyelamat memulakan pendakian ke lokasi mangsa dilaporkan terjatuh pada jam 2.30 petang dengan bantuan beberapa orang malim gunung," katanya.

Menurutnya, setibanya di lokasi kejadian, mangsa telah diberikan rawatan kecemasan oleh pasukan penyelamat sebelum dibawa turun dengan menggunakan alat pengusung pada jam 3.30 petang.

Bagaimanapun, katanya, pasukan penyelamat berdepan kesukaran ketika operasi menurunkan mangsa disebabkan keadaan laluan yang berbatu dan licin akibat hujan sebelum mangsa tiba di khemah operasi bomba pada jam 10.46 malam.

Mangsa kemudiannya dibawa ke klinik kesihatan berdekatan bagi mendapatkan rawatan sebelum dipindahkan ke Unit Kecemasan Hospital Dungun untuk rawatan lanjut dan keadaannya dilaporkan stabil.