Kerjasama industri, institusi TVET penting: Dr Mahathir

Iklan
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan pada Persidangan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan sesi dialog bersama Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif industri hari ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kerjasama pihak industri dan institusi pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) yang kukuh amat signifikan dalam memastikan padanan antara penawaran dengan permintaan bagi membantu institusi TVET tempatan menyediakan kursus berteras industri berteknologi tinggi berdasarkan kehendak industri, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata kerajaan percaya kerjasama itu dapat mewujudkan tenaga kerja pakar baharu dalam mempelajari teknologi terkini yang mempunyai kesan limpahan yang akan mampu menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan teknologi di sektor-sektor lain seperti pertanian, pembinaan, kesihatan dan perkhidmatan.

Iklan
Iklan

"Kerajaan percaya agenda pemerkasaan TVET bersama-sama dengan penggiat utama industri harus menjadi hala tuju strategik TVET negara.

"Kerjasama pintar antara pihak industri dan institusi TVET akan membantu dalam penghasilan produk yang berkualiti dan perkhidmatan yang lebih efisien," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen TVET, di sini hari ini.

Iklan

Untuk itu, Dr Mahathir menyeru agar lebih ramai pemain industri utama bergiat aktif dalam membangunkan modal insan dan menyokong dasar pelaksanaan TVET negara terutamanya dalam membantu graduan TVET tempatan dengan mengiktiraf kemahiran yang mereka miliki dan seterusnya berkongsi kepakaran yang ada.

Dr Mahathir berkata lulusan daripada program TVET yang melibatkan usahasama antara institusi TVET awam dengan pelbagai syarikat multinasional berpandukan kepada kehendak dan keperluan industri terbukti berjaya dengan hampir 90 peratus daripada graduan dihasilkan berjaya mendapatkan pekerjaan selepas tamat latihan.

Iklan

"Kerana itu pemain-pemain utama institusi TVET awam dan swasta negara harus keluar daripada comfort zone masing-masing dan mencari penyelesaian yang berkesan.

"Salah satu pendekatan pastinya kerjasama merentasi pelbagai pihak yang berkepentingan terutamanya dengan pihak industri," katanya.

Perdana Menteri berkata TVET akan menjadi pemacu utama dalam usaha kerajaan melahirkan tenaga mahir tempatan berkemahiran tinggi, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.

Katanya kerajaan akan terus berusaha meningkatkan keupayaan belia Malaysia dalam TVET bagi memastikan keperluan industri berteknologi tinggi akan dipenuhi oleh warga kerja tempatan.

"Ini juga secara langsung akan mengubah pasaran buruh negara di mana menjadi keutamaan kerajaan ialah untuk memastikan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi yang menawarkan gaji yang tinggi dapat diwujudkan.

"Ini bersesuaian dengan usaha-usaha kita untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi ke negara ini," katanya.

Dalam era Revolusi Industri 4.0 masa kini, Dr Mahathir menyarankan pemain-pemain utama TVET dan industri untuk memanfaatkan Industry Forward, iaitu dasar negara mengenai Industri 4.0 dari 2018 – 2025, dalam meningkatkan keupayaan dan daya saing masing-masing.

Katanya pasaran kerja pada masa hadapan akan dipenuhi dengan tenaga kerja berkemahiran tinggi, kreatif dan mempunyai pemikiran yang kritis dengan deskripsi dan skop pekerjaan dijangka mengalami perubahan yang signifikan.

"Pekerja masa hadapan perlu memastikan mereka sentiasa melengkapkan diri mereka dengan kemahiran terkini (skills set) berdasarkan kepada keperluan industri masa hadapan," katanya.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran yang turut hadir pada persidangan itu berkata peratus pekerja mahir negara ketika ini masih pada tahap 28 peratus daripada keseluruhan jumlah tenaga kerja negara.

Katanya jika Malaysia mahu setanding dengan negara maju seperti Jerman yang tenaga mahirnya mencapai 50 peratus, Malaysia perlu bertindak dengan penuh agresif dengan perancangan program-program upskilling dan reskilling dengan konsisten untum tempoh lima tahun akan datang.

"Kementerian mensasarkan peningkatan latihan pekerja tempatan di bawah program upskilling dan reskilling kepada 1.2 juta pekerja tempatan sekali gus bakal meningkatkan tenaga mahir negara," katanya. - Bernama