RM576,644 produk dirampas penguat kuasa farmasi Kelantan

Iklan
Gambar hiasan, (gambar kecil, Dr Zaini Hussin)

KOTA BHARU – Produk kesihatan bernilai RM576,644 dirampas Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Kelantan kerana pelbagai kesalahan sepanjang tempoh Januari hingga Jun 2019.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin berkata, nilai itu termasuk produk tidak berdaftar, bukan ubat (makanan dicemari racun), keluaran berdaftar (dicemari racun), kosmetik tidak bernotifikasi.

Iklan
Iklan

"Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF), Jabatan Kesihatan Kelantan sentiasa memandang serius tentang kegiatan pengilangan, pengedaran dan penjualan produk-produk kesihatan melibatkan produk tidak berdaftar, kosmetik tidak bernotifikasi dan produk kesihatan yang campur palsu di negeri ini.

"Antara premis terlibat ialah farmasi runcit, klinik perubatan, kedai ubat, kedai runcit, pasar mini, rumah kediaman, kenderaan, kedai makan, kedai vape dan salun kecantikan,” katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian.

Iklan

Menurutnya, orang ramai perlu sentiasa berhati-hati sewaktu membeli ubat-ubatan, produk kesihatan dan kosmetik untuk mengelakkan bahaya yang mungkin timbul apabila menggunakan produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi

"Penjualan produk tidak berdaftar melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan- Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan semua pembekalan ubat-ubatan yang mengandungi racun berjadual (ubat terkawal) adalah tertakluk di bawah Akta Racun 1952 yang perlu dipatuhi oleh pengamal perubatan dan ahli farmasi.

Iklan

"Orang awam juga boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk melalui laman web atau hubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400. Oang ramai juga boleh muat turun aplikasi NPRA Product Status daripada Play Store bagi menyemak status pendaftaran produk tersebut," katanya.

Dr Zaini berkata, produk berdaftar mempunyai nombor pendaftaran MAL dan label Hologram Meditag pada bungkusannya aduan dan maklumat berkenaan produk dan kosmetik yang meragukan boleh disalurkan kepada Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia melalui laman web http://www.pharmacy.gov.my atau Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berhampiran.

"Orang ramai juga boleh menghubungi talian 03-7841 3200 bagi membantu kementerian membanteras penjualan produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi yang boleh memudaratkan bagi melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang awam," katanya.