PARIT BUNTAR - Kementerian Pendididkan disaran memperluas program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) ke sekolah menengah bagi membantu pelajar kurang berkemampuan menikmati sarapan pagi.
Exco Komunikasi, Multimedia, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Penerangan Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, langkah itu dapat memastikan pelajar terbabit belajar dengan selesa.
"Kita perlu memberikan perhatian kepada mereka supaya pelajaran mereka tidak akan terjejas kerana di peringkat ini mereka memerlukan makanan untuk fokus semasa pembelajaran," katanya.
Hasnul Zulkarnain yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong berkata demikian selepas merasmikan Pelancaran Program Seuntai Kasih Seberkas Harapan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist di sini, hari ini.
Dalam pada itu, menurutnya program itu melibatkan syarikat korporat dan NGO membantu memberikan kupon RM3 kepada 57 pelajar di DUN Titi Serong yang layak untuk membeli makanan di kantin sekolah.
"Sebanyak lapan buah sekolah menengah di kawasan DUN Titi Serong mendapat manfaat ini sejak awal Januari dan akan berakhir November ini.
"Pelajar yang diberikan kupon ini akan membeli sarapan pagi di kantin sekolah pada waktu rehat dan mereka tidak boleh menukar kupon itu. Kita berharap program ini dilaksanakan seluruh negeri ini," katanya.