SEBERANG JAYA - 500 pelajar sekolah dari 10 buah sekolah di negeri ini menerima bantuan persekolahan dari Co-Opbank Pertama (CBP), hari ini.
Pengerusinya, Kamari Zaman Juhari berkata, setiap pelajar yang terpilih dari 10 sekolah angkat bank tersebut menerima RM180 untuk membeli keperluan sekolah antaranya beg, baju dan kasut.
"Sumbangan ini diserahkan kepada 100 pelajar daripada 500 penerima yang terdiri daripada golongan asnaf melalui Program Back To School 2019 di Pasar Raya Mydin,” katanya ketika menyampaikan ucapannya di sini, hari ini.
Menurutnya, setiap sekolah tersebut menerima RM90,000 untuk disalurkan kepada pelajar yang terpilih.
"Pada hari ini, seramai 100 pelajar dari 10 sekolah diberi wang untuk dibelanjakan sendiri di Pasar Raya Mydin. Baki pelajar yang tidak hadir, akan diberi baucar untuk pembelian kelengkapan menghadapi alam persekolahan tahun depan.
"Baucar itu boleh digunakan bila-bila masa untuk pelajar memilih sendiri keperluan yang mereka mahukan. Pemberian sumbangan ini adalah kali pertama dan akan diadakan sebagai acara tahunan selepas ini," katanya.
Kamari Zaman berkata, pemberian sumbangan itu adalah salah satu program khidmat sosial masyarakat (CSR) CBP kepada sekolah di seluruh negara yang diadakan sebelum ini.
"Untuk tahun ini, CBP memperuntukkan RM100,000 kepada 173 buah sekolah di seluruh negara termasuk di Sabah.
"Bantuan bukan diberikan melalui pembelian keperluan sahaja, malah pembangunan infrastruktur dan pembelajaran serta kokurikulum pelajar di sekolah terpilih juga turut dibantu," katanya.